Maza cadang beri zakat kepada bukan Islam

Maza cadang beri zakat kepada bukan Islam

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan supaya pemberian zakat diperluaskan kepada orang bukan Islam, memandangkan negara dan rakyat sedang terjejas dengan krisis Covid-19.

Menurutnya, Perlis telah melaksanakan amalan itu sebelum ini dan mencadangkan negeri lain mengguna pakai pendekatan sama.

“Dalam keadaan sekarang, ketika banyak rakyat terjejas, keluasan madzhab fikah yang ada membolehkan zakat turut diberikan kepada non-muslim patut diguna pakai.

“Kesusahan di musim Covid-19 ini merentasi semua penganut agama.

“Zakat memberikan kesan yang baik terhadap jiwa penerimanya. Di Perlis kami telah laksanakan sejak 2017 lagi,” katanya dalam satu kenyataan di kumpulan WhatsApp beliau hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad, melancarkan Tabung Musaadah Covid-19 yang untuk membantu semua pihak yang terjejas dengan wabak maut itu.

Melalui tabung berkenaan, orang bukan Islam yang layak turut akan diberikan bantuan.

Menurut Zulkifli, hasil wang kutipan itu akan digunakan untuk membantu mereka yang terkesan, terutamanya penjawat awam dan pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertugas semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pada 2017, Perlis membolehkan zakat diberi kepada bukan Muslim mengikut asnaf muallafah qulubuhum (golongan yang ingin diharmonikan sikap dan tanggapan mereka terhadap Islam).

Kata Mohd Asri amalan seperti yang dibuat di Perlis boleh dilakukan di negeri lain tetapi dengan langkah yang sewajarnya.

“Itu pun hendaklah di bawah urus tadbir dan penilaian pihak pengurusan zakat,” katanya.

Sumber : https://m.malaysiakini.com/news/518331