Masih terlalu awal untuk umum hidup bersama Covid ketika varian baru terus muncul

Keadaan Covid-19 masih terlalu pramatang untuk mengisytiharkan negara bersedia untuk hidup bersama Covid-19, kata seorang pemimpin DAP.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata, beberapa cabaran perlu diatasi dalam strategi membendung wabak Covid-19 sebelum negara bersikap terlalu optimistik mengenai kesan program vaksinasi.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Malaysia dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 pada Oktober selaras dengan sasaran kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 80% populasi dewasa mendapat vaksin sehingga bulan berkenaan.

Masih terlalu awal untuk umum hidup bersama Covid ketika varian baru terus muncul

Sehingga 2 September kira-kira 47.2% atau 15.4 juta rakyat negara ini sudah lengkap vaksinasi Covid-19 setelah menerima dua dos suntikan.

Bagaimanapun katanya, masyarakat perlu menerima hakikat untuk hidup bersama virus itu meskipun negara berjaya mengawal wabak tersebut.

Boo berkata, di sebalik kemunculan varian diberi perhatian (VOI) baharu, iaitu Mu, yang dikesan di Amerika Syarikat, Malaysia masih perlahan dalam usaha melakukan penjujukan genom virus Covid-19.

“Oleh demikian Malaysia kekurangan data untuk sama ada menyokong ataupun menolak kemungkinan munculnya varian baharu yang berkemungkinan membantutkan keberkesanan vaksin sedia ada di negara ini.

“Malah keberkesanan vaksin satu antigen, misalnya vaksin mRNA Comirnaty buatan Pfizer, didapati menurun kepada 39% sewaktu kemunculan varian baharu, iaitu varian membimbangkan (VOC) dan varian Delta,” katanya dalam catatan di Facebook.

Selain itu, kerajaan masih tiada rancangan untuk memberi vaksin kepada golongan remaja dan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, malah masih jauh daripada sasaran 70% vaksinasi keseluruhan populasi negara sebelum akhir Oktober.

“Malahan kadar penyakit serius Covid-19 dan kematian di luar hospital (BID) dalam kalangan orang muda meningkat secara mendadak,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, masalah kekurangan motivasi untuk mengumpul data sains setempat wajar diatasi.

Ia termasuk data berkenaan keberkesanan pelbagai vaksin terhadap varian baharu, kajian membandingkan keberkesanan suntikan penggalak vaksin sejenis ataupun penggalak campuran pelbagai vaksin sedia ada setempat untuk membendung penularan varian baharu secara lebih berkesan.

“Usah terlalu optimistik mengandaikan bahawa ketiadaan kemunculan varian baharu setempat yang lebih mengancam tanpa motivasi menjalankan kajian sains secara lebih proaktif,” katanya.

Sehingga 2 September, kira-kira 47.2% atau 15.4 juta rakyat negara ini sudah lengkap vaksinasi Covid-19 selepas menerima dua dos suntikan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/03/masih-terlalu-awal-untuk-hidup-bersama-covid-19-kata-wakil-dap/

BACA JUGA : Pelantikan kembali Duta Khas undang kritikan, satu pembaziran