Masih relevankah “No Anwar, No DAP” dalam konteks politik Malaysia hari ini?

Prof Agus

Masih relevankah “No Anwar, No DAP” dalam konteks politik Malaysia hari ini.Semalam, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz, mengadakan perjumpaan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, di Semenanjung Gaza untuk membincangkan isu-isu kebajikan penduduk Palestin.

Perjumpaan itu disifatkan sesuatu amat jarang, kerana melibatkan dua musuh ketat yang belum mencapai perdamaian, sebaliknya ribuan penduduk Palestin terkorban akibat konflik berpanjangan mereka.

Pihak Israel juga tidak sepi daripada kerugian nyawa dan harta benda, tetapi pada skala lebih kecil.

Namun, di sebalik permusuhan, mesyuarat itu memaparkan kesudian rejim Tel Aviv dan Palestin mencari titik persamaan. Retorik ‘racun’ saling membidas dilupakan, sekurang-kurangnya untuk seketika.

Di Malaysia, politik menyerang pembangkang agak lama berpaksi kepada “No Anwar, No DAP”.

Muhyiddin Yassin dilaporkan memberitahu pemimpin Amanah, Khalid Samad, Bersatu cerai Pakatan Harapan kerana DAP.

Masih

PAS pula menyifatkan DAP parti rasis, anti-Melayu, anti-Perlembagaan dan macam-macam lagi. Presidennya Abdul Hadi Awang sudah lama menolak Anwar Ibrahim, malah semasa PAS menganggotai Pakatan Rakyat.

Hadi sering menyifatkan PH pimpinan Anwar sebagai rakus kuasa, walaupun gabungan itu memenangi PRU14 tetapi ditumbangkan kerana, agaknya, ada pihak lain yang rakus kuasa!

Umno meluluskan resolusi “No Anwar, No DAP” pada perhimpunan agungnya yang lalu dengan Zahid sendiri memberikan jaminan itu kepada perwakilan.

Segala pendirian keras Muhyiddin, Hadi, dan Zahid terhadap Anwar dan DAP dilihat sebagai tindakan berprinsip mereka dalam menolak sebarang kerjasama dengan PH.

Namun, dalam tempoh kurang dua minggu yang lalu, Bersatu, PAS, dan Umno membuktikan kesahihan ungkapan “dalam politik segalanya mungkin”.

Muhyiddin mengadakan perbincangan dengan dua pemimpin DAP untuk menyediakan beberapa tawaran kepada PH. Ini untuk memperolehi sokongan pembangkang untuk mengabsahkan beliau sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Muhyiddin menjaja tawaran itu sebagai “kerjasama rentas parti” untuk kebaikan rakyat. Namun beliau tidak menjelaskan mengapa tawaran itu dibuat hanya 17 bulan kemudian, iaitu selepas beliau hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat akibat ‘ditikam’ Umno.

Malah, dua pemimpin DAP dilaporkan turut serta dengan wakil Muhyiddin untuk menghasilkan tawaran itu.

PAS berdiam diri atas isu ketelusan Muhyiddin. Pada masa sama, parti itu memaklumkan ia menyokong “kerjasama rentas parti” yang ditawarkan Muhyiddin. Bermakna ia menyokong usaha kerajaan Perikatan Nasional (yang dianggotai PAS) bekerjasama dengan Anwar, Lim Guan Eng, dan Mohamad Sabu (presiden Amanah).

Semua perkembangan ini mendedahkan ahli politik mudah lupa atau buat-buat lupa apabila nyawa politik di hujung tanduk.

Hari ini, PAS tetap selesa duduk dalam pentadbiran yang diambil alih Umno. Perdana Menteri daripada Umno pula selesa membuka rundingan menjalin kerjasama dengan Anwar dan DAP. Tentunya semua ‘perubahan’ ini ada kaitan kelangsungan politik masing-masing.

Apa pun, tidak salah Umno, PAS, mahupun Bersatu ‘berlembut’ kembali dengan Anwar dan Guan Eng jika keadaan politik semasa menuntut mereka berbuat demikian.

Namun, ada baik juga jika pemimpin bersikap telus, jangan dituduh meludah ke langit atau cakap tak serupa bikin.

Semalam, Presiden PAS sendiri menyambut baik usaha Perdana Menteri daripada Umno bekerjasama dengan PH.

Hadi tentunya sedar beliau sendiri sebahagian daripada kerangka kerjasama ini kerana PAS dalam kerajaan sekarang (seperti dahulu). Malah Hadi masih penasihat khas kepada Perdana Menteri.

Tetapi sekali lagi, di Facebook, Hadi menggunakan ungkapan seperti rakus kuasa terhadap PH kerana menolak tawaran asal Muhyiddin. Pada masa sama, beliau mendakwa pembangkang ada ‘kesedaran baharu’ apabila menerima undangan Ismail mengadakan perjumpaan tempoh hari.

Justeru, ada yang tertanya-tanya “apa sebenarnya yang Hadi nak” daripada PH.

Nampaknya beliau menyambut baik kerjasama rentas parti iaitu antara kerajaan (termasuk PAS) dan PH, namun pada masa sama, Hadi masih melontar tuduhan dan sangkaan buruk terhadap gabungan pembangkang itu.

Ia hanya membawa persepsi sama ada beliau kabur atau mengaburi penyokong parti tentang pendirian parti berhubung kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Di pihak Umno, isu Anwar dan DAP sebelum ini dijadikan senjata ampuh dalam serang-menyerang oleh puak berbalah.

Selepas Ismail mengadakan pertemuan dengan Anwar, Guan Eng, dan Mat Sabu, senyap pula paluan “No Anwar, No DAP” walau daripada Annuar Musa dan Shahidan Kassim. Senyap terus.

Hakikatnya, penolakan DAP dan Anwar oleh Bersatu pimpinan Muhyiddin, PAS (Hadi) dan Umno (Zahid) tidak bertahan malah berubah. Penolakan total oleh mereka sebelum ini untuk mempengaruhi sentimen pengundi Melayu demi menebalkan sokongan untuk parti dan diri.

Namun perbalahan Bersatu dan Umno menimbulkan keperluan membuat percaturan baharu dan jajaran politik yang tidak lagi boleh membelakangkan Pakatan Harapan, atas kedudukannya sebagai blok pembangkang utama di Parlimen.

Semua ini tidak bermaksud Bersatu, PAS, dan Umno harus menunaikan ‘janji lama’ tidak bekerjasama dengan PH. Jauh sekali. Apa yang diharapkan ialah parti-parti berkenaan telus dengan pendirian terbaharu mereka. Jangan berenang dua kolam.

Sememangnya, rakyat mengharapkan permuafakatan kerajaan dan pembangkang akan membawa hikmah yang boleh memulihkan kestabilan politik dan membantu rakyat bangkit daripada kesengsaraan Covid-19.

PH, Anwar, dan Guan Eng bukan sempurna. Tentunya sebagai ahli politik, mereka juga mempunyai percaturan tersendiri dalam mencari kuasa politik. Bukankah PAS, Bersatu, dan Umno mencari kuasa politik yang sama (dan memperolehinya tanpa melalui PRU).

Tanggungjawab ‘menyelamatkan agama, bangsa, dan negara’ bukan hak milik atau slogan eksklusif mana-mana parti. Politik negara tidak boleh berdasarkan anggapan ‘jika anda bukan penyokong saya, maka anda musuh negara yang perlu dihabiskan’.

Jika ikhlas mahukan kerjasama kerajaan-pembangkang, maka hentilah melontar tuduhan melulu ikut sedap mulut, sekurang-kurangnya sehingga PRU akan datang. Ketika itu, permusuhan politik boleh dihidupkan balik dengan rakyat sebagai penentu nasib parti politik yang bertanding.

Akhir kata, ada baiknya pada Hari Kemerdekaan yang suram kali ini akibat Covid-19, semua ahli politik muhasabah sebelum menganggap hanya mereka dan sekutu mereka layak diiktiraf sebagai pihak “benar dan ikhlas”.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/pandangan/2021/08/31/merenung-sejarah-pendek-no-anwar-no-dap/

BACA: Termenung tengok 50,000 ikan sangkar tidak boleh lagi dijual

COMMENTS

Wordpress (0)