Maruah Malaysia hancur dengan sikap wakil rakyat disogok dengan rasuah

Tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal bagi membolehkan berlakunya Pilihanraya Negeri Sabah susulan berlakunya pengkhianatan dengan beberapa orang ADUN Sabah melompat parti menyatakan sokongan kepada bekas Menteri Tan Sri Musa Aman amat membimbangkan perkembangan politik negara.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyuarakan kebimbangan dengan perkembangan politik di Sabah. Bahkan, ia seakan menjadi trend mudah untuk dilakukan berikutan eksperiman politik yang berjaya melalui tragedi ‘Langkah Shareton’ sehingga menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada bulan Februari lalu. Seakan domino, kerajaan bertukar tangan sekelip mata di Johor, Melaka dan Kedah tanpa mandat dan dokongan rakyat yang mengundi dalam pilihanraya umum ke 14.

Pengakuan beberapa ADUN Sabah yang mendakwa mereka ditawarkan sejumlah wang dan jawatan untuk berpaling tadah bagi menjatuhkan kerajaan dikuasai Warisan di negeri berkenaan mengabsahkan kerja-kerja politik kotor di belakang tabir. Antara Adun Sabah yang mengaku ditawarkan habuan untuk berpaling tadah daripada kerajaan Warisan ialah Dumi Pg Masdal. Beliau dijanjikan bayaran RM5 juta untuk meninggalkan Warisan, dan RM20 juta untuk menjadi menteri Sabah. Sebelum ini Adun Kepayan Jannie Lasimbang turut mendakwa tiga orang individu datang ke rumahnya di Penampang dan memintanya untuk menukar sokongan. Jannie telahpun membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Isu yang merisaukan adalah bagaimana budaya rasuah terhadap wakil rakyat sangat berleluasa. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seakan pelobi untuk wakil rakyat mereka berbuat sesuka hati bagi menjatuhkan kerajaan. Pihak tertentu pula telah menjadi broker kumpulan samseng, kongsi gelap atau kartel dadah yang boleh membeli, memujuk, menyogok mahupun mengugut mana-mana wakil rakyat untuk bersama mereka. Perkara ini sangat terang lagi tersuluh kerana telah pun ada pengakuan dan laporan polis dibuat oleh wakil rakyat di Sabah.

Dalam isu kerajaan di Sabah, saya menyatakan sokongan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak tegas dengan menyiasat serta menangkap para pemberi dan penerima rasuah. Soal rasuah bukan sesuatu yang kecil untuk dipandang sepi, tetapi ia adalah sesuatu yang besar kerana boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat. Jika para pemimpin sebagai pembuat dasar atau polisi kerajaan negeri boleh menjual prinsip perjuangannya untuk menumbangkan kerajaan sendiri, apakah mereka juga tidak tergamak menjual kedaulatan dan keselamatan negara kepada orang asing?

Sabah menjadi contoh betapa mudahnya kerajaan bertukar ganti kerana tindakan bodoh para Adunnya dibeli umpama perempuan jalanan yang tiada maruah diri, saya juga menyokong saranan beberapa pandangan supaya SPRM menyiasat tindakan beberapa Adun yang melompat parti di Johor, Melaka, Kedah dan di peringkat persekutuan. Apakah para Adun dan Ahli Parlimen ini melompat parti tanpa sebarang imbuhan mahupun ganjaran lumayan? Berapakah nilai yang mereka dapat dengan tindakan menukar kem, parti dan sokongan kepada pihak lawan politik mereka? Jika Sabah boleh dicagarkan, apakah nasib negeri sasaran selanjutnya seperti Negeri Sembilan dan Selangor.

Bagaimana pula pengakuan Perdana Menteri melalui audio dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu bulan Februari lalu yang didakwa merancang untuk menawarkan kepada pemimpin Umno jawatan dalam kabinet dan GLC? Saya bimbang jika SPRM tidak bertindak tegas menangkap semua pelaku termasuk jika ia membabitkan Perdana Menteri sekalipun, Malaysia menjadi bahan kecaman masyarakat antarabangsa. Dunia melihat Malaysia sarat dengan rasuah seperti negara dunia ketiga yang lain. Amat memalukan kerana skandal ahli-ahli politik yang jelas terdedah ini pula umpama bom jangka yang lebih dahsyat dari skandal 1MDB.

Tindakan para pemimpin daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menjatuhkan maruah dan integriti wakil rakyat seluruh negara. Rakyat merasa muak dan jelek dengan aksi menjiikkan wakil rakyat mereka yang dilihat garang dan lantang sebelum ini, namun berubah 360 darjah setelah menjadi wakil rakyat dan melompat pula ke parti lain. Apakah mereka tidak malu dengan kegigihan rakyat bekerja siang dan malam memenangkan mereka dan parti yang tidak mendapat atau mengharap apa-apa habuan, sedangkan para pemimpin kenyang dengan jawatan besar dan gaji yang banyak.

Tindakan mereka menjadikan rakyat hilang hormat dan percaya kepada politik negara. Ketika mereka meraikan kejayaan menumbangkan rejim korup, selang beberapa bulan kemudian rejim itu tegak kembali dengan dokongan pemimpin yang mereka pilih.

Jika ini berlaku, jangan sampai rakyat memilih mendiamkan diri, tidak mengambil peduli soal politik negara dan memboikot pilihanraya akan datang.

Sumber :