MAPIM sedia runding agar Sajat tidak keluar Islam

MAPIM sedia runding agar Sajat tidak keluar Islam

DEMI masa depan dan maruah Islam, kami bersedia bersua dengan saudara Sajat, yang mengikut video yang tular, menyatakan mahu keluar daripada Islam.

Kami amat insaf akan kekhilafan yang berlaku dan mengambil perhatian mengenai apa yang dinyatakan itu.

Kami yakin semua pihak dalam masyarakat Islam memandang berat dengan insiden ini dan umumnya merasa sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Kami bersimpati kepada semua pihak yang mahu menyelesaikan isu ini dan berharap dapat mengawal keadaan agar isu ini dikendalikan dengan sebaik mungkin dan dengan hikmah.

Jalan keluar dengan menghormati tanggungjawab pihak berkuasa dan mengguna pendekatan kasih sayang dan mendidik secara penuh hikmah perlu dilakukan.

Sesungguhnya, apa yang mahu dicapai ialah Sajat, dengan penuh keinsafan, kekal dalam Islam.

Kami sangat yakin Sajat melafaz pernyataan tersebut dalam keadaan tertekan dan emosi yang tidak terkawal dan tidak dari lubuk hati yang sebenar.

Dalam hal ini, kami juga sangat berharap agar masyarakat Islam tidak menambah rumit keadaan.

Inilah saatnya seluruh masyarakat menterjemah rasa kasih sayang antara satu sama lain dan menyelamatkan saudara seagama agar kembali saling bantu- membantu demi kebaikan dan ketakwaan.

Kami memanjangkan tangan silaturrahim kepada Sajat bahawa beliau insan yang perlu bersama diselamatkan dalam menjalani ujian kehidupan yang sangat mencabar di zaman ini.

Kefahaman Sajat mengenai tanggungjawab pihak berkuasa sangat perlu dijelaskan dan kami berharap ada komunikasi yang lancar berlaku untuk mengelakkan salah faham antara dua pihak.

Sebagai badan Islam kami berasa sangat bertanggungjawab untuk turut berperanan menangani isu seperti ini dengan hikmah dan mencari titik penyelesaian yang baik.

Demi Islam dan demi maruah dan kesucian Islam kami dengan penuh harapan dan berdoa agar Sajat menjadi insan yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara dan tidak bertindak keluar Islam.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sedia-bincang-agar-sajat-kekal-islam-mapim-285693