Mandat rakyat : Kerajaan Malaysia sama dengan Myanmar – Mohamad Sabu

Mandat rakyat : Kerajaan Malaysia sama dengan Myanmar – Mohamad Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berpendapat Malaysia tidak boleh mengikut tindakan New Zealand yang memutuskan hubungan peringkat tertinggi dengan Myanmar.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, kerajaan pada masa ini tidak layak berbuat demikian bagi membantah kudeta kerana Perikatan Nasional (PN) juga membelakangi mandat rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

“Malaysia tidak boleh melakukan hal yang sama kerana mereka sama seperti Myanmar tidak menghormati mandat rakyat,” katanya di Twitter hari ini.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata demikian mengulas keputusan New Zealand yang menjadi negara asing pertama semalam memutuskan penggantungan hubungan tentera dan politik peringkat tertinggi dengan Myanmar bagi membantah rampasan kuasa tentera.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) mengulangi gesaan agar jeneral tentera Myanmar melepaskan kuasa ekoran tindakan polis menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata bagi menembak ribuan penunjuk perasaan yang menentang rampasan kuasa oleh tentera itu.

Pada 12 Februari ini, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UMHRC) dijadualkan akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan krisis di Myanmar.

Pihak tentera juga sebelum ini cuba menyekat akses kepada internet termasuk platform media sosial seperti Facebook dan Twitter susulan penggulingan Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.

Walau bagaimanapun kemarahan rakyat Myanmar dilihat gagak dikekang apabila puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalanan di serata bandar di negara itu mengutuk rampasan kuasa yang berlaku selepas mengecapi demokrasi sejak 10 tahun lalu.

Orang ramai berarak dengan iringan bunyi hon kenderaan sambil membawa sepanduk dan kain rentang, termasuk tertera ‘Kami tidak mahu pemerintahan diktator oleh tentera’.

Pergolakan di Myanmar yang meruncing menyaksikan peserta demonstran membawa bendera merah parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi yang kini sedang ditahan.

Mereka berarak menunjukkan simbol tiga jari sebagai menentang rampasan kuasa oleh tentera selain memukul periuk dan kuali yang merupakan amalan tradisional mengusir semangat jahat.

Tentera Myanmar menjustifikasikan rampasan kuasa itu dengan mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya, kira-kira tiga bulan lalu yang menyaksikan kemenangan besar parti NLD.

Susulan itu, pihak tentera mengisytiharkan darurat selama setahun, selain mendakwa akan mengadakan pilihan raya baharu.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/kerajaan-malaysia-kini-sama-seperti-myanmar-tidak-hormat-mandat-rakyat/