Mampukah Umno yakinkan akar umbi untuk kerjasama dengan PKR?

Mampukah Umno yakinkan akar umbi untuk kerjasama dengan PKR?

Bicara mengenai penjajaran politik baharu antara Umno dan PKR dilihat sebagai bukti bahawa dalam politik, tiada permusuhan yang kekal, sementara sebilangan penganalisis politik yakin ahli akar umbi Umno mungkin tidak menerima gabungan seperti itu.

Syed Arabi Idid
Ahli strategi politik, Syed Arabi Idid berkata, pemimpin PKR, Anwar Ibrahim perlu mengatasi beberapa persepsi masyarakat terhadap beliau, berikutan dakwaannya September lalu bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan boleh membentuk kerajaan.

“Anwar mungkin dianggap sekali lagi membuat dakwaan, kali ini untuk menghalang Ahli Parlimen dalam partinya melompat ke Perikatan Nasional,” kata Syed Arabi.

Namun, sekiranya Anwar dilihat bersama presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, maka beliau boleh dianggap mempunyai sokongan nyata, tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berkata Umno dan PKR perlu mencari titik persamaan yang boleh diterima akar umbi Umno.

“Sebaik sahaja para pemimpin jumpa titik persamaan itu, mereka perlu merujuk kepada akar umbi,” tambah beliau.

September lalu, Zahid memberitahu Ahli Parlimen Umno beliau tidak akan melarang mereka menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Ini dinyatakan selepas Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu, tujuh bulan selepas Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan.

Anwar berkata, Ahli Parlimen pelbagai parti yang tidak senang dengan kepemimpinan yang sedia ada telah mendekati beliau.

Awang Azman Pawi
Bagaimanapun, penganalisis politik Awang Azman Pawi memberitahu FMT, tidak ada musuh tetap dalam politik seperti yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir Mohamad yang bekerjasama dengan DAP dan PKR.

“Kenapa Umno tidak boleh bekerjasama dengan PKR?” soal beliau.

Lagipun, PAS biasa menggambarkan ahli Umno sebagai “kafir”, tetapi kini “tidur sebantal” dengan Umno melalui Muafakat Nasional, malah bekerjasama dengan DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat, tambah beliau.

Seorang penganalisis politik lain, Azmi Hassan, berkata, pemimpin Umno Najib Razak dan Zahid mungkin telah bersetuju untuk menjalin hubungan dengan PKR, dan masih perlu dilihat sama ada ahli Umno yang lain akan bersetuju kerana PKR adalah rakan kongsi DAP dalam Pakatan Harapan.

“Ada faktor DAP yang perlu dipertimbangkan. Akar umbi Umno tidak akan setuju. (Prinsip) untuk tidak bekerjasama dengan DAP telah menjadi darah daging Umno,” kata beliau.

Azmi Hassan
Azmi menambah, DAP mungkin mahu bekerjasama dengan Umno selepas peristiwa yang menjatuhkan PPBM Perak.

“DAP Perak sekarang tahu bahawa mereka boleh bekerjasama dengan Umno dalam hal-hal tertentu,” kata beliau.

Namun, Azmi meramalkan kerjasama Umno dan PKR mungkin tidak akan berfungsi kerana akar umbi berat hati dengan DAP, menyebabkan Umno akhirnya berjabat tangan dengan PPBM dan PAS selepas isu peruntukan kerusi untuk pilihan raya umum akan datang diselesaikan.

Baru-baru ini, tiga Ahli Parlimen PKR – Larry Sng (Julau), Steven Choong (Tebrau) dan Xavier Jayakumar (Kuala Langat) – meninggalkan parti itu dan menyatakan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/16/adakah-akar-umbi-umno-akan-sokong-perjanjian-dengan-pkr/