Presiden Parti Pejuang, Mukhriz Mahathir, menyatakan rasa ‘pelik’ dengan usaha mengaitkan penyatuan orang Melayu
Dengan penganjuran himpunan solidariti yang menyokong bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Menurut Mukhriz, parti Pejuang secara jelas menyokong segala usaha untuk menyatukan masyarakat Melayu, tetapi dengan satu syarat: niat di sebalik penyatuan itu mesti jelas dan tulus.
“Kita mesti faham, Najib adalah pemimpin Melayu yang telah merosakkan imej bangsa Melayu.
Dialah yang menyebabkan perpecahan dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) hingga menyebabkan kekalahan dalam PRU 2018,” jelasnya dalam siaran audio ‘Suara Marhaen’.
Mukhriz juga menegaskan bahawa masyarakat Melayu seharusnya sedar bahawa himpunan yang menyokong Najib ini hanya akan merosakkan maruah dan martabat bangsa Melayu.
“Masyarakat Melayu harus malu jika terus menyokong individu yang terlibat dalam rasuah.
Tanpa integriti, ke mana kita akan pergi?” ujarnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dalam satu surat kepada ahli parti, menyatakan bahawa himpunan tersebut bertujuan untuk menyokong rayuan Najib dalam mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum mengenai tahanan rumah. T
akiyuddin turut mengarahkan ahli PAS berkumpul di depan Istana Kehakiman pada 6 Januari, iaitu pada hari Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib bagi mengemukakan keterangan baru dalam rayuannya mengenai hukuman tahanan rumah.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun daripada 12 tahun yang dijatuhkan, selain denda yang dikurangkan kepada RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, berikutan sabitan kes SRC International.
Pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, mengeluarkan kenyataan menggesa orang ramai untuk tidak menyertai sebarang perhimpunan yang dianjurkan mana-mana pihak, bagi menghormati Yang di-Pertuan Agong.
Gesaan ini dibuat susulan kenyataan Istana Negara yang mengingatkan semua pihak untuk menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam memohon pengampunan atau pengurangan hukuman bagi seseorang banduan.
BACA:Â 6 jenis tanah di laman rumah anda kenal pasti dulu baru boleh mula berkebun