Malaysia perlukan akta lompat parti atau tidak? Tanya Agus Yusoff

Malaysia perlukan akta lompat parti atau tidak? Tanya Agus Yusoff

Minggu lepas, tersebar berita beberapa ahli parlimen yang melompat parti. Para penganalisis menggelarkan mereka ini sebagai pengkhianat, tidak berprinsip dan tidak berdisiplin. Ada yang mendakwa ahli politik ini dibayar, diugut, mengejar keuntungan diri dan beberapa lagi alasan lain sebagai faktor berlakunya gejala ini.

Wajarkah lompat parti ini berlaku? Bagi saya wajar sahaja sekiranya tidak lagi sehaluan dengan parti asal, lagipun tindakan sebegini tidak salah dari segi undang-undang dan perlembagaan negara. Cumanya dari segi moral, ia sepatutnya dielakkan, apatah lagi semasa mengisi borang pencalonan, sumpah setia terhadap parti dilafazkan dan divideokan.

Perlukah kita mendesak orang yang melompat parti ini meletakkan jawatan? Boleh didesak, tetapi kita hendaklah juga berlaku adil kepada mereka. Jika sebelum tahun 1990, ahli legislatif yang keluar dari parti asal atau meletakkan jawatan boleh bertanding semula, tetapi sekarang tidak lagi.

Ini boleh dilihat dalam kes Shahril Samad yang keluar dari UMNO pada tahun 1988, meletakkan jawatan MP Johor Bahru dan bertanding semula sebagai calon Bebas. Beliau menang dalam PRK ini dan selepas itu, kerajaan meminda perlembagaan pada Mei 1990 menyekat sesiapa sahaja ahli legislatif yang meletakkan jawatan daripada bertanding semula dalam tempoh lima tahun (lihat Perkara 48(6)). Maka, untuk berlaku adil kepada pelompat parti, peruntukan perkara ini perlu dipinda semula.

Perlukah kita kepada Akta Lompat Parti? Apa kesannya lompat parti ini kepada politik negara? Dua aspek ini kita bincangkan kemudian.

Sumber: