Malaysia dipilih untuk uji kaji satu jenis vaksin covid-19 baru buatan China

Malaysia telah dipilih sebagai tempat untuk uji kaji vaksin covid-19 buatan China yang lain, kali ini buatan Shenzhen Kangtai Biological Products Co Ltd.

Menurut Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, kajian klinikal fasa tiga telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 28 Mei.

“Kajian klinikal ini melibatkan produk SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cells), Inactivated, 5μg/ 0.5mL yang dikilangkan oleh pengilang Shenzhen Kangtai Biological Products Co, Ltd di negara China.

“Kajian Klinikal Fasa 3 ini akan dijalankan di lapan pusat penyelidikan di Malaysia dengan sasaran peserta sebanyak 3,000 orang dewasa yang berumur 18 tahun dan ke atas serta dijangka akan mengambil masa selama 15 hingga 19 bulan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Negara lain yang terlibat dalam kajian klinikal ini ialah Colombia, Argentina, Pakistan, Filipina dan Ukraine.

Vaksin ini juga telah diluluskan oleh negara China melalui Emergency Use Approval pada 14 Mei 2021

Selain membuat vaksin sendiri, Kangtai juga mendapat hak eksklusif untuk mengeluarkan vaksin Oxford/ Astrazeneca di China.

Anak syarikat Yong Tai Bhd iaitu YTB Healthcare Sdn Bhd akan bertanggungjawab mengendalikan ujian klinikal itu.

Ia bakal menjadi syarikat swasta pertama di negara ini yang menjalankan ujian klinikal fasa tiga untuk vaksin Covid-19.

Pada masa ini, portfolio vaksin yang ada di Malaysia terdiri daripada vaksin oleh Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Setakat semalam, kira-kira lapan peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/577720

COMMENTS

Wordpress (0)