Makan di kedai sudah dibenarkan di Perlis

Pengusaha restoran menyambut baik peralihan Perlis ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini yang membenarkan perkhidmatan makan di restoran terhad kepada dua orang semeja dengan penjarakan fizikal.

Rata-rata pemilik restoran yang ditemui berharap sedikit kelonggaran yang diberikan itu dapat merancakkan kembali perniagaan mereka.

Pemilik Restoran Mee Zdin, Zainudin Bhukarai, 43, berkata, berita mengenai peralihan ke fasa tiga tersebut sememangnya tidak disangka-sangka tambahan pula dengan peningkatan kes di negeri ini sejak akhir-akhir ini.

makan

ZAINUDIN mengelap meja makan sebagai persediaan menyambut pelanggan untuk makan di Restoran Mee Zdin, Jalan Kuala Perlis, Kampung Titi Serong, Kuala Perlis semalam.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana negeri itu sudah meme­nuhi kriteria ditetapkan untuk beralih ke fasa seterusnya kerana banyak restoran yang terjejas termasuk ada yang tidak dapat beroperasi kerana kekangan daripada segi perniagaan melalui sistem penghantaran dan sebagainya.

“Ia dilihat sangat membantu terutamanya kepada pemilik restoran ikan bakar di Kuala Perlis yang mana mereka agak terjejas kerana kebiasaannya orang ramai lebih gemar untuk makan di kedai dengan hidangan menu secara panas.

“Alhamdulillah perniagaan kami boleh bertahan walaupun agak terjejas juga. Mungkin selepas ini kami dapat meningkatkan jumlah pekerja kepada 80 peratus pada satu masa berbanding 50 hingga 60 peratus ketika ini,” katanya ketika ditemui di restorannya di Jalan Kuala Perlis semalam.

Menurutnya, kebenaran makan di kedai dapat memudahkan pelanggan terutamanya yang bekerja untuk menjamu selera di premis itu.

Sementara itu, Pemilik Res­toran Dunia Yong Tau Foo Jalanan di cawangan Kangar Jaya, Rohayu Sudirman, 29, berkata, pihaknya menyambut baik kebenaran makan di kedai dan berharap perkara tersebut akan terus kekal.

“Memang baik dapat buka semula kerana pendapatan kami sebagai peniaga memang terjejas dan turut memberi kesan kepada pekerja kerana kami tidak mampu untuk membayar gaji seperti sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang jurujual, Asri Bahrom, 27, berkata, kelonggaran yang diberikan apabila beralih ke fasa tiga amat dihargai terutamanya dapat makan di kedai ketika bekerja.

“Saya minta agar rakyat menghargai kelonggaran yang diberikan ini untuk sama-sama me­ngawal daripada kes merebak semula di negeri ini,” ujarnya.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/08/04/orang-perlis-kini-boleh-makan-di-kedai/

BACA JUGA : Terkini !!! Zahid tampil beri penjelasan keputusan Umno

Artikel ini disiarkan pada 04/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)