Seorang wanita tidak pernah menyangka ibu mentua yang dianggap idola rupanya gemar membawa mulut sehingga meretakkan perkahwinannya dengan suami.
Hampir sahaja memegang gelaran janda, wanita dikenali sebagai Saleha itu merasa lega apabila suaminya pintar memainkan peranannya di dalam membina ‘sempadan’.
Berikut perkongsian Saleha yang masih mencuba untuk reda menerima ketentuan Ilahi dan berharap agar dapat membuang rasa ‘menyampahnya’ terhadap ibu mentua.
“Boleh tak berikan cadangan bagaimana nak membuang rasa tak suka terhadap ibu mentua? Bantulah aku.
Kasihan juga tengok suami aku yang tersepit antara isteri dan ibunya. Aku ini suri rumah sahaja. Suami pula bergelar kontraktor yang mempunyai perniagaan sendiri. Walaupun kecil-kecilan, tetapi kami bersyukur. Alhamdulillah.
“Hidup aku rasanya Allah sudah berikan lebih daripada cukup. Kadang-kadang, malu juga sebab nikmat yang Allah berikan memang banyak sangat. Aku dan suami baik-baik sahaja. Sibuk dengan anak-anak sahaja sebab mereka kecil lagi. Tetapi hidup ini kalau tiada ujian, bukan manusia namanya kan? Ujian hidup aku adalah ibu mentua.
“Aku rasa menyampah dan tak suka kepada ibu mentua. Sebabnya dia pernah buat aku dan suami hampir bercerai. Waktu itu, aku tengah hamil pula. Kejadian ini sudah lama berlalu tetapi tetap segar di dalam ingatan aku. Masa mengandung dahulu, aku siap doa supaya anak dalam perut ini mata sahaja. Sedih rasanya kalau cerita balik.
“Anak aku dalam perut sampai tak membesar. Doktor siap suruh aku berhenti puasa mungkin sebab terlalu tertekan. Kejadian itu berlaku ketika bulan Ramadan. Selepas anak aku lahir, dia jadi sangat kuat mengamuk. Takut juga kalau gejala itu tandanya anak aku menghidap autisme. Tetapi Alhamdulillah, ujian menunjukkan dia normal.
“Berbalik kepada ibu mentua aku, dia suka masuk campur dalam urusan anak-anak. Sedangkan waktu awal perkahwinan dahulu, dia nampak seperti ibu mentua idaman. Lemah lembut, tutup aurat, bertudung labuh dengan jubahnya, stokin dan bersarung tangan. Cakap juga lembut sahaja. Anak-anak semua sayang dan dengar cakap dia.
“Pendek kata, memang idola akulah. Tetapi apabila sudah berjumpa dan duduk satu rumah, lain pula jadinya. Ibu mentua rupanya suka bukak aib menantu. Kalaulah dia datang ke rumah aku dan nampak baju tak berlipat, habislah bercerita dekat semua anaknya. Kononnya aku ini pemalas. Kalau tak masak pun dia bawak mulut juga.
“Kiranya kalau tak masak dan lipat baju, dijamin terus masuk nerakalah. Tetapi kalau tengok anak perempuan dia, sama sahaja macam aku. Kadang-kadang itu tak lipat baju dan masak juga. Aku ini bukanlah tak masak hari-hari. Contohnya sarapan aku masak mi goreng dengan ayam masak kicap. Jadinya petang aku beli goreng pisang.
“Rupanya tak boleh. Kena masak juga daripada pagi sampai malam, barulah dikira isteri syurga. Aku tak paham betul apa jenis pikiran macam ini. Mula daripada hal itu, aku hampir bercerai dengan suami. Sejak itulah aku benci nak berjumpa dengan ibu mentua. Nasib baik suami aku faham. Dia juga jarang bawa kami berjumpa selalu.
“Kalau tak dahulu, dua ke tiga kali sebulan mesti kami akan bersua muka. Ibu mentua gunalah ayat anak derhakalah, syurga di bawah tapak kaki ibulah. Aku rasa mungkin ini penyakit orang alim yang merasa dia ahli syurga. Kalau bukan anak-beranak dia, ahli neraka. Cukuplah sampai sini aku nak meluah. Sebab nanti aku kena jumpa dia.
“Dua ke tiga hari ini ada kenduri. Mulalah menyampah aku datang. Tolong bantu aku terima takdir ini. Apakah yang perlu aku lakukan? Amalan apa yang harus aku buat agar reda dengan perangai ibu mentua tanpa ada rasa sakit di dalam hati. Aku rasa kasihan dekat suami. Dia melayan aku dan anak-anak kami dengan baik sahaja
“Tetapi ibu mentua buatkan aku rasa menyampah. Bantulah aku kalau ada pembaca menerima nasib yang sama tetapi berjaya atasinya. Mana tahu sekiranya ada cara mengawal emosi untuk berdepan manusia toksik seperti ini. Terima kasih.” Kongsi Saleha (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.