Majoriti MKT Umno mahu perkukuh kerjasama MN dengan Pas, kata Hadi

Majoriti MKT Umno mahu perkukuh kerjasama MN dengan Pas.Majoriti Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mahu bekerjasama mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diakui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan menyifatkan usaha tersebut membolehkan rundingan kerusi bersama UMNO dicapai bagi mengelak pertembungan kerusi dalam PRU15.

“Saya difahamkan walaupun bukan semua tetapi majoriti Ahli Majlis Tertinggi UMNO mahu bersatu dan bekerjasama (bersama Pas).

“Orang UMNO kena ikut pemimpin (Majlis Kerja Tertinggi) bukan bahagian-bahagian. Bahagian-bahagian ini akar umbi. Itu lain cerita. Kita tak boleh pakai demokrasi Barat. Kena ikut kepimpinan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, di sini, pada Jumaat.

Majoriti MKT Umno mahu perkukuh kerjasama MN dengan Pas, kata Hadi

Dalam pada itu, katanya beliau menyokong kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang menegaskan supaya rundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimum mungkin bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRU15.

“Memang kita tidak mahu tiga penjuru. Kita mahu Melayu Islam termasuk bukan Islam yang tidak ekstrem dan yang menjunjung perlembagaan untuk bersama dalam Perikatan Nasional (PN) ketika pilihanraya. Kita turut mengajak UMNO,” katanya.

Pada Khamis, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam kenyataan menegaskan akan terus memperkasa MN dan PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat agama serta negara.

Katanya, perkara itu diputuskan dalam Muzakarah Majlis Syura Ulama yang bersidang pada Rabu.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin ketika Wawancara Khas ‘Dilema Covid dan Politik’ menerusi Facebook UMNO Online pada Khamis mengakui beliau telah serasi bersama Pas dalam jemaah menteri.

“Kita ada kerjasama yang baik jadi biarlah kita fikir dengan baik mengenai perkara ini dan jangan membuat apa-apa keputusan secara terburu-buru,” ujarnya.

BACA:

Terkini !!! Dua sungai di Kelantan melebihi paras bahaya dan semakin naik
Azmin, Zuraida, Rina dan Hamzah gugur dari jawatan Menteri ?
Penggali kubur terkejut jumpa harta karun peninggalan kerajaan kuno

Artikel ini disiarkan pada 31/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)