Majlis perkahwinan, pertunangan kini dibenarkan – Menteri

Majlis perkahwinan, pertunangan kini dibenarkan – Menteri

Semua majlis sosial termasuk membabitkan perkahwinan, pertunangan, pernikahan dan sambutan ulang tahun dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi kawasan PKPB, kapasiti tetamu ditetapkan sehingga 50 peratus keluasan premis manakala bagi kawasan PKPP, mengikut keluasan premis dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Semua majlis rasmi, tidak rasmi, kerajaan, majlis sosial seperti majlis perkahwinan, pertunangan, sambutan ulang tahun dan reunion adalah dibenarkan,” katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Bagi majlis perkahwinan di rumah pula kata Ismail Sabri, penganjuran dan kehadiran tetamu adalah dibenarkan selagi mematuhi penjarakan fizikal.

“Walaupun kebenaran diberi, tapi saya harap mereka perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan seperti penjarakan fizikal.

“Jangan ada kenduri kahwin yang bersesak-sesak pula, jadi akhirnya yang bahaya adalah diri sendiri,” katanya.

Katanya, majlis seperti seminar, kursus, latihan, ceramah bersemuka, pameran, aktiviti perdagangan serta konvensyen juga dibenarkan dengan SOP yang ditetapkan.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/semua-majlis-sosial-termasuk-perkahwinan-pertunangan-reunion-dibenarkan-ismail-sabri-285659