Mahkamah sahkan duit diberi Najib kepada MCA adalah duit ‘aktiviti haram’ 1MDB

Wang berjumlah RM835,258.19 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada MCA Pahang dua tahun lalu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini sah menjadi milik Kerajaan Malaysia.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membenarkan permohonan Pendakwa Raya untuk melucut hak wang itu kepada kerajaan selepas berpuas hati ia adalah hasil daripada aktiviti haram.

Hakim Datuk Mohammad Jamil Hussin dalam penghakimannya berkata Pendakwa Raya berjaya membuktikan kes melalui imbangan kebarangkalian dan mahkamah turut mendapati bahawa tiada pihak ketiga hadir bagi membuat apa-apa tuntutan.

Katanya mahkamah berpuas hati bahawa Pendakwa Raya berjaya membuktikan wang itu hasil aktiviti haram selaras kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Mohammad Jamil berkata, mahkamah turut mendapati wang itu diterima responden (MCA Pahang) daripada Datuk Seri Najib Razak yang didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM iaitu kesalahan menggunakan kedudukan atau jawatan bagi mendapatkan suapan.

Beliau berkata, hasil siasatan menunjukkan bahawa pembayaran oleh Najib kepada MCA Pahang berjumlah RM3 juta melalui cek adalah mengikut kesalahan pengubahan wang haram di mana Najib kemudian didakwa mengikut Akta SPRM, yang juga kesalahan serius.

Katanya, responden menyatakan bahawa wang itu adalah sumbangan derma dan tidak menafikan ia diterima daripada Najib.

“Bagaimanapun ia mendakwa wang itu sudah dibelanjakan dan baki yang tinggal berjumlah RM835,258.19.

“Mahkamah mendapati responden tidak menunjukkan apa-apa penyata akaun bank bagi menyokong dakwaan ia adalah derma lain yang diterimanya, laporan kewangan responden juga dalam bahasa Cina dan mahkamah tidak memahami kandungannya.

“Begitu juga tiada penyata akaun bank dikemukakan oleh responden yang menunjukkan wang derma itu sudah dibelanjakan dan mahkamah bersetuju dengan hujahan Pendakwa Raya bahawa ia adalah baki daripada wang RM3 juta itu,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, Pendakwa Raya diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala Datuk Ben Chan bertindak mewakili MCA Pahang.

Berita penuh:

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/07/708651/wang-disita-daripada-mca-pahang-kini-milik-kerajaan