Lupakan fasa PPN dan fikir langkah baru, perniagaan perlu dibuka sepenuhnya

Pemilik perniagaan mendesak Putrajaya membuka sepenuhnya sektor ekonomi dan “melupakan” pelaksanaan berfasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai petunjuk melonggarkan sekatan.

Desakan itu timbul selepas mengambil kira fungsi Lembah Klang sebagai pusat ekonomi negara yang masih berdepan sekatan Fasa 1 sejak 1 Jun lalu, sementara negeri lain sudah beralih ke Fasa 2 malah ada yag sudah beralih ke Fasa 3.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman berkata, kerajaan sebaliknya perlu melakukan proses pengesanan, pengasingan dan merawat pesakit di zon merah.

ppn

“Pihak berkuasa perlu melakukan adaptasi gabungan strategi menerusi peningkatan vaksinasi dan membuka perniagaan disusuli SOP ketat.

“Majikan komited mematuhi semua SOP dan MEF (Persekutuan Majikan Malaysia) juga menyokong penuh tindakan keras dikenakan ke atas majikan yang ingkar,” katanya dalam kenyataan.

Syed Hussain berkata, tiada gunanya menggalakkan vaksinasi sekiranya majikan dan pekerja terjejas teruk dari segi ekonomi.

“Strategi tunggal melaksanakan vaksinasi besar-besaran sebelum membuka kembali ekonomi terbukti tidak berjaya,” katanya sambil menambah gabungan strategi mungkin menunjukkan kesan lebih baik.

Beliau berkata, MEF mengalu-alukan kelonggaran sekatan Fasa 1 yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Hishammuddin Hussein semalam yang menyatakan bahawa Putrajaya bersedia membenarkan operasi pasar malam di negeri dalam fasa berkenaan.

Hishammuddin berkata, antara kelonggaran yang sedang dipertimbangkan membabitkan sekatan SOP bagi aktiviti dan sektor kurang berisiko seperti sukan berbasikal dan “dine-in” kepada individu lengkap divaksin.

Dalam pada itu, Syed Hussain berkata, majikan kini tidak sabar menunggu kelonggaran bagi negeri Fasa 1.

“Industri runcit antaranya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tukang gunting rambut, pembuat kunci, pemilik perniagaan mencuci kenderaan, salon, dan kedai cenderamata paling terjejas teruk kesan daripada ‘lockdown’,” katanya.

Beliau berkata, lanjutan “lockdown” menunjukkan kegagalan mengurangkan jumlah jangkitan dan sehubungan itu, kerajaan perlu menukar strategi bagi mengurangkan kesan buruk kepada pemilik perniagaan.

Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor masih berada dalam Fasa 1 PPN.

Manakala itu Pulau Pinang, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah berada dalam Fasa 2, selain Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan dan beberapa kawasan di Sarawak beralih ke Fasa 3.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/10/lupakan-fasa-ppn-buka-sepenuhnya-perniagaan-putrajaya-diberitahu/

BACA JUGA : Pegawai Timbalan Menteri disahkan meninggal dunia akibat Covid-19

Artikel ini disiarkan pada 10/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)