‘Lumpuh tak bermakna jiwa juga harus patah’, Pemuda ini ubahsuai kerusi roda macam kereta buat netizen kagum

‘Lumpuh tak bermakna jiwa juga harus patah’, Pemuda ini ubahsuai kerusi roda macam kereta buat netizen kagum.

ANGGOTA badan yang lumpuh tidak bermakna jiwa juga harus turut patah.

Begitulah kisahnya bagi pemuda ini yang walaupun lumpuh separuh badan tetapi tetap menyimpan cita-cita besar.

'Lumpuh tak bermakna jiwa juga harus patah', Pemuda ini ubahsuai kerusi roda macam kereta buat netizen kagum

Melalui satu video tular di TikTok, pemuda itu berkongsi perjalanannya mentransformasikan kerusi roda miliknya kepada sesuatu yang luar biasa.

Pemuda ini mengubahsuai kerusi rodanya mengikut citarasanya.

Bercerita kepada mStar, Nur Ariff Azmi, 22, berkata dia hilang keupayaan untuk berjalan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Januari tahun 2020 ketika menunggang motosikal.

“Waktu tu balik daripada keluar makan. Tiba-tiba ada motosikal masuk ke laluan saya dan kami pun bertembung, saya tercampak ke atas jalan.

“Kecederaan saya agak parah, kaki saya termasuk pinggul dan paha patah, tulang kering hancur. Saya lumpuh bahagian kanan badan, kaki dan tangan kanan hilang fungsi.

 

“Saya memerlukan bantuan untuk berjalan. Jadi ada satu hari tu, ketua kampung dekat sini beritahu tentang keadaan diri saya kepada seorang wakil rakyat.

“YB tu datang jumpa saya dan hadiahkan sebuah kerusi roda,” cerita Ariff yang menetap di Kampung Parit Besar, Batu Pahat, Johor.

Sejak itu kerusi roda yang dinamakan sebagai ‘Sudu Besi’ itu menjadi anak emas Ariff dan disayanginya seperti menatang minyak yang penuh.

Walaupun selepas apa yang terjadi, saya tidak berputus asa dan masih mengejar impian dan bidang yang saya minat.
NUR ARIFF AZMI


“Dulu saya pernah ambil kursus GiatMARA bahagian permotoran. Di situ saya banyak timba ilmu dan kemahiran berkaitan kerja-kerja bengkel. Sekarang pun saya ada buka bengkel mini di rumah untuk motosikal.

“Memandangkan saya banyak luangkan masa duduk di atas kerusi roda ni, saya nekad nak hias cantik-cantik. Saya ada letak sistem brek dekat Sudu Besi, tapi itu lebih kepada tujuan kosmetik dan tak berfungsi.

Kerusi roda Ariff ditambah baik untuk menjadi mirip seperti sebuah kereta lumba.

“Selepas tu untuk roda Sudu Besi, saya letak rim motosikal jenama Honda Type R. Sarung tempat duduk Sudu Besi saya pakai sarung kereta jenama Recaro. Saya cat Sudu Besi menggunakan cat aeresol.

“Disebabkan pergerakan saya yang terhad kerana keadaan tangan kanan saya, adik saya ada tolong-tolong juga untuk upgrade Sudu Besi,” kata Ariff yang dahulunya merupakan seorang pekerja pembinaan.

Menurut Ariff, ‘Sudu Besi’ yang terjemahannya dalam Bahasa Inggeris adalah ‘spoon’ sebenarnya merujuk kepada nama sebuah syarikat yang berkepakaran mengubahsuai kereta Honda biasa kepada kereta perlumbaan.

Kereta lumba Spoon Inc yang menjadi sumber inspirasi Ariff. -Gambar hiasan

“Saya adalah pengikut tegar Spoon Inc. Warna di kerusi roda saya iaitu kuning dan biru mengikut warna model kereta lumba keluaran Spoon Inc.

“Design kerusi roda saya sebenarnya cuba untuk mengikut reka bentuk model kereta lumba. Segala aksesori yang saya masukkan adalah diinspirasikan dari kereta lumba,” katanya.

Ariff seterusnya menceritakan dia sedang merancang untuk menambah beberapa lagi elemen baharu ke dalam kerusi rodanya.

Segalanya di kerusi roda ini adalah bertemakan kereta lumba.

“Saya ada plan nak tambah enjin bateri dekat Sudu Besi. Lepas ni orang dah tak perlu tolak saya lagi dan saya boleh bergerak sendiri. Kalau dah ada enjin, mesti la kena ada handle juga kan. Saya akan tambah yang itu.

“Handle ni boleh kawal kelajuan Sudu Besi dan tekan brek jika perlu. Kemudian sudah tentu kena ada side mirror (cermin sisi) juga, boleh bantu saya untuk navigasi.

“Lepas tu saya akan tambah alas carbon fiber dekat tempat letak kaki di kerusi roda saya, Sudu Besi saya akan nampak lebih lawa dan striking,” kata Ariff.

Kerusi roda kedua masih dalam proses untuk diubahsuai oleh Ariff.

Ariff sempat menzahirkan rasa syukur kerana keluarganya memberikan sokongan dan dorongan yang memberangsangkan.

“Ibu bapa saya bangga dengan saya, walaupun selepas apa yang terjadi, saya tidak berputus asa dan masih mengejar impian dan bidang yang saya minat.

“Semangat saya disuntik apabila dapat tengok hasil kerja yang saya mampu keluarkan,” katanya mengakhiri bicara.

BACA:

Isteri Hashim Jasin meninggal dunia

Nasib tak tertelan! Seorang pelanggan temui duit syiling dalam murtabak yang dibelinya