Lima resolusi diluluskan pada Konvensyen Nunji ketiga

Sebanyak lima resolusi daripada tiga pembentangan kertas kerja diluluskan pada Konvensyen Nunji (Himpunan Ilmuwan Kebangkitan Baharu) 2019 kali ketiga yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Ayer Keroh di sini hari ini.

Pengerusi Akademi Nunji Zolkharnain Abidin berharap resolusi itu dapat merungkai segala persoalan dan permasalahan yang selama ini mengganggu keharmonian masyarakat.

“Seramai 1,350 perwakilan dan peserta dalam pelbagai bidang pengkhususan telah sebulat suara bersetuju untuk meluluskan lima resolusi daripada tiga pembentangan kertas kerja tersebut,” katanya kepada pemberita pada Konvensyen Nunji 2019 hari ini.

Beliau berkata resolusi pertama yang dipersetujui adalah menampil dan mempersembahkan Islam melangkaui jenama dan slogan dengan mengutamakan pengisian aktiviti berasaskan kepada gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ berobjektifkan ‘Maqasid Syariah’ yang digariskan dalam al-Quran dan al-Sunnah.

“Selain itu, kita telah bersetuju untuk melaksanakan gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ berpandukan al-Quran dan al-Sunnah dalam bentuk polisi kenegaraan yang ‘membumi’ dan relevan dengan realiti dan keperluan semasa berpandukan ‘Fiqh Al-Waqi’,” katanya.

Katanya resolusi ketiga adalah mengembangkan ‘Maqasid Syariah’ melampaui kerangka ‘fiqh’ tradisional atau ‘fiqh’ hukum berserta sifat teoretikal kepada polisi yang realistik dan praktikal sehingga berupaya memacu negara menjadi model negara ‘rahmah’.

Beliau berkata selain itu, konvensyen hari ini juga meluluskan resolusi keempat iaitu mengoptimumkan penggunaan data raya (big data) dan kecerdasan buatan atau ‘Artificial Intelligence’  dalam pelaksanaan polisi dan dasar kerajaan untuk memastikan maslahat kumpulan sasar tercapai.

Zolkharnain berkata resolusi terakhir yang diluluskan hari ini adalah menentang semua elemen politik melampau (A-Ghuluw fi al siyasah) dan rasisme (taksub) dengan mempromosikan gagasan politik ‘rahmah’ menerusi ilmuwan yang terlatih dan berkepakaran.

Beliau berkata untuk memastikan tujuan resolusi ini tercapai, Konvensyen Nunji 2019 pada hari ini menyeru semua pihak meneruskan usaha dengan pemikiran dan ‘islah’ organisasi, seterusnya menggembleng seluruh tenaga bersama bagi menjayakan resolusi berkenaan.

BERNAMA