Lelaki Rohingya bergelar ‘Long Tiger’ berjaya lolos lokap mahkamah

Seorang lelaki berketurunan Rohingya dipanggil Long Tiger kini diburu polis selepas melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, suspek bernama Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, itu meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada pukul 11.55 pagi sebelum perbicaraan bermula.

“Suspek diambil dari Penjara Sungai Udang, Melaka semalam untuk perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Lelaki Rohingya bergelar 'Long Tiger' berjaya lolos lokap mahkamah

KETUA Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat (tengah) menunjukkan wajah suspek yang dikenali sebagai Long Tiger yang kini diburu polis di IPD Tangkak, Johor.

“Bagaimanapun prosiding yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.

“Beberapa anggota polis yang membawa suspek ke mahkamah menyedari tertuduh sedang cuba melarikan diri apabila melihat dia keluar ke pintu utama mahkamah menuju ke pagar,” katanya dalam sidang akhbar, sebentar tadi.

Menurut Mohd. Fadhil, empat anggota polis terbabit bersama pengawal keselamatan cuba mengejar suspek namun dia terus menuju ke semak berdekatan sebelum hilang dan gagal dikesan.

“Jarak suspek dan anggota polis terlampau jauh menyebabkan dia sukar diberkas. Suspek telah melalui kawasan semak berdekatan bersama gari di tangan.

“Oleh demikian kita mohon kerjasama orang ramai yang terlihat suspek atau mempunyai maklumat berhubung lokasi tertuduh untuk segera hubungi polis.

“Bagi kes ini, beberapa anggota polis yang bertanggungjawab mengiringi suspek ke mahkamah juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 kerana kecuaian,” katanya.

Mohd. Fadhil berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada kesemua anggota tersebut terlibat dalam kejadian ini atau sebaliknya serta cara tertuduh meloloskan diri dari sel mahkamah.

Tambah beliau, tertuduh masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kini disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan.

“Suspek seorang lelaki botak dengan ketinggian lebih kurang 160 sentimeter dan berat sekitar 65 kilogram memakai baju pagoda serta berseluar coklat,” katanya.

BACA JUGA : Aksi lelaki lakukan ‘CPR’ pada monyet curi tumpuan
Panas !!! WHO dedah Omicron mungkin sudah berada di kebanyakan negara tanpa dikesan

Artikel ini disiarkan pada 16/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)