Lelaki ketuk bonet kereta peronda polis akhirnya kena cekup

Tindakan seorang lelaki mengugut seorang tukang masak serta mengetuk bonet kereta peronda polis dengan kayu mengundang padah apabila dia ditahan di sebuah kedai makan di Taman Medan Bukit Permai, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.15 petang.

“Tukang masak berusia 33 tahun mendakwa seorang lelaki berusia 27 tahun telah masuk ke dalam kedai makan dengan membawa sebatang besi dan sebatang kayu.

Lelaki ketuk bonet kereta peronda polis akhirnya kena cekup

Sebatang besi yang dirampas daripada seorang lelaki yang ditahan di sebuah kedai makan di Taman Medan Bukit Permai, Ampang pada Isnin. -Foto Sinar Harian

“Kemudian suspek telah mengetuk semua meja di dalam restoran dengan menggunakan kayu dan besi yang dibawa,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, suspek turut memanggil pengadu dan memintanya diam, jika tidak suspek ugut akan mencederakan tukang masak itu dengan besi yang dibawa.

“Sepasukan anggota polis telah datang ke lokasi. Suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan semasa tangkapan, namun kita berjaya memberkas suspek.

“Kita merampas sebatang besi dan sebatang kayu,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga telah melakukan khianat dengan mengetuk bonet kereta peronda polis menggunakan kayu.

“Punca kejadian suspek bertindak sedemikian adalah dipercayai halusinasi akibat dadah,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, suspek mempunyai lapan rekod berkaitan dadah dan jenayah kekerasan.

“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, suspek direman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186, 427, 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah 1952,” katanya.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lelaki-buat-kacau-di-restoran-ketuk-kereta-polis-ditahan-319585

BACA JUGA : Pemilihan Timbalan Speaker bakal curi perhatian sidang parlimen hari ini

COMMENTS