Lebih ramai bakal hilang kerja jika larangan rentas negeri kekal, kata Air Asia

Lebih ramai bakal hilang kerja jika larangan rentas negeri kekal, kata Air Asia

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia sedang bersiap sedia memberhentikan lebih ramai kakitangan, kecuali larangan merentas negeri ditamatkan menjelang akhir April ini.

Dalam wawancara bersama Nikkei Asia, presiden kumpulan itu, Bo Lingam berkata, sangat kritikal bagi laluan domestik dibuka semula “secepat mungkin”.

“Saya rasa negeri hijau boleh dibuka terlebih dahulu, dan kami amat menghargainya jika ia dilaksanakan menjelang bulan depan,” katanya dipetik akhbar harian kewangan itu merujuk akhir April.

Kenyataan itu menyusul pengumuman Putrajaya membenarkan pergerakan pelancongan domestik di negeri dikenakan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis.

Lingam berkata, mereka terpaksa memberhentikan “lebih ramai pekerja yang diberikan cuti daripada bertugas”, jika larangan perjalanan antara negeri kekal sehingga Mei.

Sehingga kini, kira-kira 3,000 kakitangan, kebanyakannya juruterbang dan kakitangan pejabat, terkesan dengan langkah tersebut.

Lingam berkata, pekerja yang diberikan cuti daripada bertugas hanya mendapat faedah perubatan dan perjalanan.

“Kami akan memberi mereka faedah perubatan sepenuhnya seperti pra-Covid-19 dan mereka akan dipanggil semula sebaik sahaja kami dibenarkan terbang semula,” katanya.

Oktober tahun lalu, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd memberhentikan 10% daripada 24,000 pekerja.

Jun lalu, AirAsia mengurangkan lebih 250 kakitangannya akibat pandemik tersebut.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/10/lebih-ramai-akan-dibuang-jika-larangan-rentas-negeri-kekal-kata-airasia/