Lebih ramai bakal diberi kelonggaran untuk melancong. Bermula 12 Julai nanti, Singapura akan melonggarkan sekatan Covid-19 di mana lebih ramai dibenarkan makan di restoran.
Malah, menjelang hujung tahun ini, warga republik berkenaan juga dijangka boleh melancong ke negara terpilih.
Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung berkata, kelonggaran berkenaan bergantung kepada sama ada kluster Covid-19 dapat dikawal.
“Bermula 12 Julai ini, kita akan mengambil langkah melonggarkan sekatan sebagai sebahagian rancangan tiga langkah untuk beralih ke norma baru.
“Selain itu, kita juga boleh mula mengunjungi negara tertentu bermula hujung tahun ini,” katanya dalam temu bual dengan The Straits Times.
Menurutnya, langkah seterusnya adalah pada separuh kedua bulan Julai di mana, separuh daripada penduduk Singapura sudah menerima vaksin.
“Menjelang Hari Kebangsaan nanti, kita jangkakan dua pertiga penduduk sudah menerima suntikan.
“Kita berharap perarakan Hari Kebangsaan menjadi acara pertama dapat dianjurkan sebelum beralih ke fasa endemik,” katanya.
Menurutnya, berkaitan aktiviti pelancongan, negara yang mungkin boleh dikunjungi adalah yang mencatatkan kadar vaksinasi tinggi selain merekodkan trend penurunan jangkitan.
Ia meliputi kebanyakan negara di Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
“Jika negara itu mencatatkan kadar jangkitan antara dua dan tiga kes bagi 100,000 penduduk, kita boleh mula memantau negara berkenaan (untuk dikunjungi),” katanya.
Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/07/725631/warga-singapura-boleh-melancong-akhir-tahun-ini