Lebih 6 tan Al Quran bakal dilupuskan gara-gara banjir

Setakat semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sudah menerima lebih 6,113 kilogram al-Quran rosak akibat banjir untuk dilupuskan.

Jawi menerusi satu kenyataan berkata, al-Quran itu diserahkan kepada Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur.

Menurutnya, ia diserahkan oleh individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah rendah agama yang terjejas dalam kejadian banjir khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini.

Lebih 6 tan Al Quran bakal dilupuskan gara-gara banjir

Antara al-Quran yang rosak akibat banjir

“Jawi sedia membantu melupuskan al-Quran yang rosak akibat banjir mengikut panduan syariat.

“Orang ramai yang mahu melupuskan al-Quran yang rosak boleh menghubungi talian 03-22749333 sambungan 1410,” katanya hari ini.

Katanya, perkhidmatan melupuskan al-Quran rosak itu dilaksanakan secara percuma.

Jawi berkata, al-Quran yang diterima akan ditimbang terlebih dahulu sebelum helainnya diceraikan dan seterusnya melalui proses merincih.

“Naskhah itu kemudian dilupuskan dalam relung pembakaran,” katanya.

Selain Jawi, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan turut menyediakan kutipan khas al-Quran rosak untuk dilupuskan.

Kutipan khas itu akan dilakukan di masjid dan surau bermula 1 Januari depan khusus bagi penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

BACA JUGA : Kotor dan memualkan, itulah gambaran kilang terkenal proses otak udang untuk pasaran tempatan ini
Penemuan ini jadi bukti dinasour pernah hidup di Kelantan

Artikel ini disiarkan pada 30/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)