Hanya dalam tempoh 15 minit, lebih 40 buah rumah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam mengalami kerosakan akibat kejadian ribut, di sini petang tadi.
Beberapa penduduk ketika ditemui pemberita menceritakan detik cemas ketika ribut itu memusnahkan beberapa bahagian rumah mereka di Kampung Pulau Musang dan Kampung Padang Jerat dalam kejadian kira-kira 3.30 petang.
Salah seorang penduduk, Minah Abdullah, 64, berkata ribut itu memusnahkan sebahagian besar rumah dua tingkat yang diduduki bersama keluarganya hampir 30 tahun lepas.
“Semasa kejadian saya baru balik daripada kenduri kahwin dan sempat melihat pusaran angin kuat menerbangkan atap rumah dan pecahkan beberapa tingkap di bahagian tingkat atas rumah.
“Ketika itu tiga anak saya berada di tingkat atas rumah. Saya jerit ke arah mereka dan suruh turun ke bahagian bawah sebab risau perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Seorang lagi mangsa Ahmad Kamal Muda, 45, turut meluahkan rasa sedih apabila rumah yang baru dibaiki beberapa minggu lalu rosak teruk apabila banyak atap di bahagian ruang tamu dan belakang rumah diterbangkan ribut.
“Saya bersyukur sebab anak dan isteri saya selamat. Buat masa ini saya hanya baiki mana yang patut dahulu seperti menutup ruang atap yang terbuka dengan plastik dan khemah bagi membolehkan kami berlindung buat sementara waktu” katanya .
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata semua mangsa ribut perlu melaporkan perkara itu kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi tujuan kerja-kerja membaik pulih.
“MPKK akan memastikan kerja baik pulih dilakukan secepat mungkin untuk keselesaan mangsa dan keluarga mereka.
“Selepas kerosakan dibaiki, tuntutan perlu dikemukakan kepada Pejabat DUN di kawasan masing-masing. Setakat ini, kita tidak ada had tertentu untuk kos baik pulih…apa yang penting kebajikan rakyat dipelihara,” katanya kepada Bernama.
Tambahnya, mangsa ribut dan MPKK perlu mengambil gambar kerosakan rumah sebelum dan selepas dibaik pulih untuk penilaian tuntutan kerja oleh kontraktor yang terlibat.
BERNAMA