Latihan tentera kukuhkan keselamatan yang mampan – Ketua Turus Tentera Darat AS

Latihan ketenteraan akan mengukuhkan lagi kerjasama dan membawa kepada ‘keselamatan yang mampan’, kata Ketua Turus Tentera Darat Amerika Syarikat, Jen James James C. McConville.

Beliau berkata latihan-latihan ketenteraan amat penting bagi negara-negara yang berkongsi kepentingan bersama bagi membina hubungan antara angkatan tentera mereka.

“Saya rasa kita mempunyai hubungan yang kukuh bagi mengekalkan persekitaran yang stabil di sini, dan kita perlu meneruskan latihan-latihan ketenteraan kerana ia membawa kepada keselamatan yang mampan di rantau ini.

“Ia juga akan membolehkan pertumbuhan ekonomi kepada mereka yang berkongsi kepentingan yang sama,” katanya dalam persidangan media dengan Ketua Angkatan Tentera Thailand Apirat Kongsompong di sini hari ini, semasa mengulas latihan ketenteraan ASEAN-AS, yang boleh menimbulkan anggapan sesetengah pihak sebagai sesuatu yang ‘provokatif’ kepada negara-negara seperti China.

Pada 2 Sept lepas ASEAN dan Amerika menjalankan latihan bersama yang pertama di mana ia merupakan latihan tentera yang hampir menyamai dengan latihan kenteraan dengan China tahun lepas.

Latihan yang diterajui oleh tentera Amerika dan Thailand yang melibatkan lapan kapal perang dan empat pesawat, serta lebih 1,000 petugas tentera itu dilihat bagaikan satu langkah untuk mengelak daripada dianggap sebagai menyebelahi mana-mana kuasa besar.

McConville serta rakan sejawatannya dari 27 negara Indo-Pasifik berada di Bangkok untuk menghadiri Persidangan dwi tahunan Indo-Pacific Army Chiefs Conference (IPACC) ke-11 yang bertujuan memupuk semangat saling mempercayai, persefahaman dan kerjasama di antara kalangan tentera darat di rantau ini, yang bermula hari ini sehingga 11 Sept.

IPACC, di hos bersama Angkatan Tentera Diraja Thailand dan Angkatan Tentera Amerika Syarikat dengan tema “Achieving Sustainable Security: A New Perspective for Indo-Pacific Armies” yang boleh bertindak sebagai platform bagi membolehkan ketua-ketua tentera di rantau ini9 bertemu, saling bertukar pandangan, dan berbincang mengenai hal ehwal keselamatan semasa.

Selain IPACC, seminar tahunan Indo-Pacific Armies Management Seminar (IPAMS) dan Senior Enlisted Leader Forum (SELF) turut diadakan serentak.

IPAMS disasar menjadi forum kepada pegawai-pegawai kanan tentera dalam angkatan tentera negara-negara Indo-Pasifik berpangkat Kolonel dan keatas, untuk bertemu, berbincang dan saling bertukar pandangan bagi mengukuhkan hubungan dan memupuk keselamatan di rantau ini berasaskan kepada kerjasama dan persefahaman bersama.

Bagi SELF, ia adalah mesyuarat antara pemimpin-pemimpin kanan yang dalam pasukan tentera dari negara-negara Indo-Pasifik, untuk saling bertukar pandangan serta pengalaman berhubung isu-isu yang berkaitan dengan tajuk utama mesyuarat IPACC setiap tahun.

McConville berkata perhimpunan di Bangkok akan membina hubungan lebih kukuh antara kalangan negara anggota di samping saling bertukar idea bagi kepentingan serantau dan bersama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

“Dengan berbuat demikian, kita akan lebih efektif dalam respons terhadap sebarang krisis dan menangani sebarang kecemasan bersama,” katanya.

BERNAMA