Lari dari PKPD Mentari Court sebar pula di Damai Apartment

Punca kadar jangkitan COVID-19 terus meningkat di Damai Apartment, mukim Damansara, mungkin ada kaitan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Mentari Court.

Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata, pihaknya percaya ada individu yang sempat keluar sebelum PKPD di Mentari Court dilaksanakan pada 1 Julai lalu.

Hasilnya, kes di lokaliti berkenaan terus meningkat pada minggu ke-26 dan 28 PKP baru-baru ini, mencatatkan sejumlah 236 kes positif.

Manakala secara keseluruhannya sejak Januari 2021, kawasan berkenaan telah merekodkan lebih 300 kes jangkitan COVID-19 dan 8 kes kematian.

Justeru, perlaksanaan PKPD di kawasan berkenaan adalah bagi membendung wabak dari terus menular.

“Dalam tempoh dua minggu baru-baru ini kita dapati kes (naik dengan) cepat. Kita jangkakan mempunyai kaitan dengan Mentari Court.

“Apabila kita buat PKPD di Mentari Court, kemungkinan ada sebahagian yang keluar dan mereka pergi ke apartment ini, menyebabkan berlaku kes-kes meningkat naik dalam masa singkat ini,” kata Johary.

Tambahnya, model PKPD yang sama seperti di Mentari Court akan diguna pakai dalam proses saringan dan vaksinasi lebih 5,000 penduduk.

Semakan mendapati, 40 peratus adalah penduduk tempatan, sementara selebihnya warga asing, rata-rata dari golongan B40.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid yakin penduduk di lokaliti berkenaan masih berada di kediaman masing-masing.

Penduduk juga didapati bersedia untuk disaring serta divaksin.

“Selepas telah disahkan PKPD di kawasan apartment ini, kita bersama JMB (Badan Pengurusan Bersama) dan juga penduduk.

“Setakat hari ini, ramai yang masih lagi berada dalam kawasan ini. Mereka semua masih menunggu divaksin. Kita dengar tidak ada keluar secara beramai-ramai,” katanya.

Kawasan seluas 600 meter persegi merangkumi tiga blok dengan jumlah 742 unit kediaman itu mula dikawal anggota polis dan tentera sejak jam 12 tengah malam tadi.

16 Julai lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah akan dikuatkuasakan perintah ketat itu selama dua minggu mulai 18 Julai.

Selain, Damai Apartment, turut terlibat adalah kawasan Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, Mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak.

Tatacara prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara di www.mkn.gov.my.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-kes-di-damai-apartment-ada-kaitan-pkpd-di-mentari-court-pegawai-daerah-308986

BACA JUGA : Surat MITI tak laku di SJR hingga 21 Julai – KPN

CATEGORIES