Lantik speaker yang tolak hudud, serius kah Pas nak bawa RUU355?

Perlantikan Azhar (Art) Harun yang sering mengkritik perundangan syariah yang ingin diperkenalkan Pas menimbulkan tanda tanya apakah Pas berani mengusulkan Rang Undang-undang 355 selepas ini atau RUU itu akan menjadi bahan sejarah?

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan mempersoalkan sejauh mana ‘nasib’ Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) di tangan Speaker Dewan Rakyat yang baharu

Hazmi yang juga dikenali sebagai Jeming berkata, Pas sebelum ini paling lantang menyerang dan mempertikaikan kredibiliti Azhar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada beliau (Azhar) sehingga gambar beliau dengan peguam kontroversi Siti Kasim tersebar luas di media sosial.

“Gambar ini digunakan para penyokong Umno dan Pas menyatakan Azhar seorang Islam yang liberal.

“Kenyataan-kenyataan beliau yang sebelum ini kontroversi termasuk isu (pesta arak) Octoberfest. Paling lantang menyerang ketika itu adalah dari Pas.

“Azhar juga telah mengeluarkan kenyataan mempertikaikan RUU 355 yang dibawa melalui Haji Hadi Awang (Presiden Pas),” katanya menerusi saluran YouTube, Jeming Hassan bertajuk, “Mari mengenali Speaker baru Parlimen Malaysia yang disokong Pas – Dulu dituduh liberal”.

Mengulas lanjut, Jeming berkata, Azhar yang dikenali Art Harun sebelum ini pernah mempersoalkan adakah RUU 355 tidak memberikan kesan kepada bukan Muslim.

“Ketika itu kuatlah serangan kepada Art Harun. Paling lantang menyerang adalah Pas. Hari ini (13 Julai) Azhar Azizan Harun adalah Speaker Dewan Rakyat.

“Adakah dengan pelantikan Art Harun ini maka RUU 355 Pas ini akan menjadi lebih mudah (dibentangkan di Parlimen)?

“Ini memandangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan hari ini adalah dari Pas tetapi Azhar adalah Speaker.

“Kalau dulu dilihat mudah (membentangkan RUU 355) tetapi Azhar dilihat liberal dan mempertikaikan RUU 355 Pas,” bidas Jeming.

Sehubungan itu, beliau melanjutkan persoalan kepada penyokong Pas yang dianggap masih rasional.

“Jika betul Pas memperjuangkan Islam dan ikhlas memperjuangkan RUU 355, mengapa hari ini Pas tidak ‘berbunyi’?

“Dengan pelantikan Azhar sebagai Speaker Dewan Rakyat, adakah RUU 355 kuat kembali? Adakah RUU 355 akan bangkit kembali atau hilang begitu sahaja?” soalnya lagi.

Ketika PH menguasai pentadbiran kerajaan Persekutuan, Pas lantang menuntut agar RUU 355 dapat dibentangkan dalam persidangan Parlimen.

Pada Oktober 2018, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, partinya menangguhkan sementara pembentangan RUU 355 selepas dibentangkan kali ketiga pada persidangan Parlimen April tahun sama.

Walau bagaimanapun, sejurus Perikatan Nasional (PN) menduduki Putrajaya menerusi Langkah Sheraton, Pas dilihat berdalih apabila menganggap pelantikan Takiyuddin sebagai Menteri Undang-undang dilihat belum mampu dapat membuka laluan mudah untuk RUU 355 dibentangkan di Parlimen.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, pada 10 Mac lalu berkata, masih terlalu awal untuk meletakkan harapan sedemikian dan pada masa sekarang, kerajaan perlu menyelesaikan perkara yang asas terlebih dahulu.

Sumber :

http://suarapakatandaily.com/archives/28774