Langkah Sheraton ganggu usaha PH lawan korupsi, kata Daim

KEPINCANGAN strategi komunikasi antara pentadbiran dan rakyat adalah kegagalan terbesar Pakatan Harapan (PH), kata bekas penasihatnya Daim Zainuddin.

Masalah itu seterusnya mewujudkan jurang kepercayaan antara parti komponen PH dan rakyat, menyebabkan ia cenderung mengikut arus serangan pembangkang yang bermain api perkauman dan agama, tambahnya.

Daim pernah menerajui Majlis Penasihat Kerajaan yang diwujudkan dengan matlamat menyemak semula institusi dan industri negara bagi mengenalpasti masalah dan mencadangkan penyelesaian.

Satu lagi masalah, kata Daim, adalah pandangan sempit PH berkaitan janji pilihan raya yang digelar “Buku Harapan” yang mengandungi janji sukar terlaksana memandangkan situasi kewangan negara yang bermasalah selepas Pilihan Raya Umum Mei 2018.

Walaupun PH tersilap langkah dalam pentadbiran, Daim masih memuji pemimpinnya di peringkat persekutuan.

Jelasnya, pemimpin ini cepat belajar dan bertambah baik tetapi semuanya hancur lebur selepas siri rampasan kuasa tidak berdarah pada hujung Februari lalu.

Semua ini adalah pemerhatian Daim terhadap prestasi PH sepanjang 22 bulan ia di tampuk kuasa yang dikongsi dalam satu temubual baru-baru ini.

Berikut adalah petikan temubual tersebut:

TMI: Mengapakah terdapat kegagalan dasar ekonomi PH memandangkan tidak banyak dasar dan pelaksanaan yang dilakukan sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi?

Daim: Dalam banyak perkara, kerajaan PH bermula dengan baik dan buat banyak perkara dengan betul. Kejayaan terbesar pada pandangan saya, adalah pengurangan korupsi. Kita tidak lagi dikenali sebagai negara kleptokrasi.

Ia juga mengurangkan kos beberapa projek bermodal besar yang ditandatangani kerajaan Barisan Nasional (BN).

Janji pilihan raya itu seperti memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menyambung semula subsidi minyak dan lain-lain sama ada sudah dilaksana atau dalam proses pelaksanaan.

Ia juga memulakan usaha untuk penstrukturan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi memastikan hanya teknokrat layak dilantik, dan ramai yang dilantik menerima imbuhan lebih rendah berbanding mereka yang dilantik ketika era BN.

Beberapa pembaharuan institusi juga dilaksana dan ada lagi dalam perancangan. Bagaimanapun, pembaharuan ini tidak dapat diteruskan kerana perubahan kerajaan ketika PH masih memegang mandat (pentadbiran).

Malangnya, banyak lagi inisiatif yang bermula dengan baik terjejas ketika dilaksana. Dalam banyak cara, PH mungkin bermusuh dengan diri sendiri. – 16 Jun, 2020.

Sumber: