Lagi pemandu mabuk, kali ini menunggang motosikal pula

Lagi pemandu mabuk, kali ini menunggang motosikal pula

Akibat melakukan perbuatan yang membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain, seorang lelaki menerima padah apabila ditahan kerana menunggang motosikal dalam keadaan mabuk ketika melintasi sekatan pemeriksaan polis.

Ketika kejadian, lelaki berusia 51 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Alor Mengkudu dari pusat bandar, sebelum ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Dia ditahan pada jam 9.37 malam ketika sekatan di jejantas Jalan Teluk Wanjah, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasa Trafik Kedah Supt Chuah Seong Lim berkata, hasil ujian saringan alkohol menggunakan alat Screening Device II (SDII) mendapati, paras alkohol dalam badannya mencecah 339mg/100ml.

Manakala ujian saringan kedua menggunakan alat Evidential Breath Analyzer II (EBA II) turut mencatatkan paras bacaan alkohol tinggi mencecah 182mg/100ml.

Katanya, hasil keputusan itu mendapati, lelaki tersebut positif mabuk.

Chuah berkata, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Masih lagi terdapat manusia yang degil walaupun hukuman dan juga tindakan reman dibuat. Masih ada lagi yang mabuk dan menunggang motosikal atau kereta.

“Maka, pihak trafik Kedah akan meneruskan Ops Mabuk ini sehingga satu tahap di mana timbul kesedaran kepada semua pengguna jalan raya.

“Selepas minum (arak), jangan memandu atau menunggang motosikal, demi keselamatan pengguna-pengguna jalan raya lain,” katanya.

Menurut Chuah, operasi Op Mabuk giat dilakukan bagi memastikan tiada lagi pemabuk dikesan di negeri ini.

Katanya, daerah Kota Setar mencatatkan jumlah paling ramai yang ditahan kerana disyaki mabuk, diikuti Kubang Pasu dan Langkawi.

Sepanjang Januari hingga Mei, sebanyak 24 tangkapan dilakukan membabitkan pemandu mabuk di negeri ini.

Berita Penuh:

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/lelaki-ditangkap-menunggang-motosikal-dalam-keadaan-mabuk-247488