Seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk, merempuh sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 di Jalan Tun Hussein Onn pada malam Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata dalam kejadian jam 11.40 malam itu, pikap dipandu suspek tiba-tiba meluru laju lalu merempuh papan tanda serta khemah polis, sebelum memecut melarikan diri.
“Anggota polis yang terkejut dengan kejadian itu terus mengejar suspek dengan kereta peronda polis sebelum berjaya menahan suspek pada jarak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.
Zulkipli berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit berada dalam pengaruh alkohol.
Suspek kemudiannya ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu bagi siasatan lanjut sebelum dibawa ke Lokap Balai Polis Bintulu untuk dikenakan tahanan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967/ 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Saya turut menasihatkan orang awam sekitar Bintulu agar mematuhi PKP yang berlanjutan sehingga 14 April ini nanti bagi membantu kerajaan memutuskan rangkaian virus pembunuh ini,” katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/04/673326/covid-19-pemandu-mabuk-rempuh-sekatan-pkp