Lafaz taklik jika ambil vaksin, itu kena tanya mufti – Menteri Agama

“Lafaz taklik sah? Yang itu kena tanya mufti. Itu bukan bidang kuasa saya,”.

Itu reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berhubung kes seorang lelaki yang sanggup melafazkan taklik ke atas isterinya di media sosial disebabkan pasangannya itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun Idris berkata, menuntut ilmu agama perlu memastikan guru yang mengajar adalah betul.

Lafaz taklik jika ambil vaksin, itu kena tanya mufti - Menteri Agama

“Banyak guru yang betul kenapa tak ikut. Kadang-kadang kita mengaji (belajar agama) melalui Google.

“Boleh tengok, tetapi itu hanya pengukuhan, bukan satu perkara yang kita kata untuk dapat segala-galanya.

“Jadi ini akhirnya (kes suami lafaz taklik sebab isteri suntik vaksin),” katanya.

Beliau berpesan disebabkan itu ulama menyebut apabila mengaji agama tak ada guru maka tok gurunya adalah syaitan.

Semalam tular di laman sosial apabila seorang lelaki sanggup melafaz taklik ke atas isterinya di media sosial disebabkan pasangannya itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Dalam kejadian di Kuala Terengganu itu wanita tersebut yang merupakan suri rumah kemudian menghubungi peguam syarie bagi mendapatkan khidmat dan pengesahan sama ada taklik dilafazkan suaminya melalui Facebook adalah sah atau sebaliknya.

Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik melalui Facebook peguam syarie itu, pasangan suami isteri itu adalah pasangan jarak jauh (PJJ) dan kejadian dilaporkan berlaku kelmarin.

Peguam syarie, Maryam Wafda Kamilen daripada Tetuan Wafda Kamilen & Associates dilaporkan mengesahkan menerima pertanyaan daripada suri rumah berkenaan.

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/08/31/lafaz-taklik-sebab-ambil-suntikan-vaksin-covid-19-itu-kena-tanya-mufti-menteri/

BACA JUGA : Tular kes kematian pesakit Covid-19 tak dipeduli di hospital, ini penjelasan JKN Kedah