KPT mohon mahasiswa kongsi idea kembali ke kampus

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memohon maklum balas pelajar universiti di seluruh negara berhubung rancangan kembali ke kampus pada Mac ini sebelum pihaknya memutuskan kaedah terbaik untuk dilaksanakan.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ini berikutan kes positif COVID-19 harian masih kekal mencatatkan empat angka serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak.

“Saya ingin mendapatkan pandangan anda semua berkenaan dengan kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi (IPT) pada semester akan datang terutama dalam keadaan dan situasi semasa sekarang.

“Sekiranya anda sudi berkongsi hasrat dan suara hati berkenaan perkara ini, boleh nyatakan di ruangan komen.

“Insya-Allah saya di pihak KPT akan cuba mengambil perhatian segala maklum balas supaya keputusan terbaik dapat diambil untuk anda semua,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Disember lalu, Noraini berkata, kPT menjangkakan penuntut universiti dijadual kembali ke kampus seawal-awalnya pada Mac ini.

Katanya, pihaknya akan mengemukakan permohonan mengenai perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendapat persetujuan mereka.

Keputusan KPT itu dibuat sebelum kerajaan mengumumkan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak serta mengisytiharkan darurat awal bulan ini bagi menangani masalah COVID-19.

Sementara itu, Noraini berkata, sebelum ini KPT mengadakan beberapa libat urus dengan pelbagai pemegang taruh berhubung pengoperasian IPT bermula Mac ini.

Katanya, terdapat lima kategori pelajar IPT dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat bagi meneruskan pembelajaran masing-masing.

“Lima kategori itu ialah pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan di universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang sedang menjalankan pengajian; pelajar semester atau tahun akhir bagi pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda.

“Ia termasuk pelajar semester atau tahun akhir tidak mempunyai akses internet; pelajar berkeperluan khas (OKU) yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik dan Kolej Komuniti,” katanya.

Noraini berkata, kategori terakhir ialah pelajar kemasukan baharu bagi sesi akademik 2020/2021 di semua UA, IPTS, politeknik dan kolej komuniti. –BH