KPN beri amaran jika turun ke jalanraya isu kalimah ALLAH

KPN beri amaran jika turun ke jalanraya isu kalimah ALLAH

Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mahu menganjurkan demonstrasi jalanan bagi memprotes keputusan mahkamah berhubung isu kalimah Allah, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh masyarakat bukan Islam harus dihormati semua pihak.

“Sekiranya kita tidak hormati keputusan mahkamah maka hancur negara ini dan perlu diingatkan mahkamah diberikan kebebasan membuat keputusan yang difikirkan tepat mengikut perlembagaan.

“Kalau mahu mahkamah buat keputusan mengikut citarasa kita saja tidak adil dan jika masih tidak puas hati buat proses rayuan atau bawa perkara ini ke parlimen, buatlah undang-undang apapun bukannya ambil langkah turun ke jalan,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Abdul Hamid berkata tindakan yang akan diambil pihak polis terhadap mereka termasuk menggunakan Akta Hasutan.

“Saya beri nasihat dan amaran agar tidak meneruskan hasrat turun ke jalan tetapi jika masih degil kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada termasuk mengikut Akta Hasutan,” katanya.

Pada Rabu lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nor Bee Ariffin memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii, berkata umat Islam sedia ke turun jalan raya sekiranya kerajaan gagal bertindak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

“Umat Islam sedia turun ke jalan raya bagi mengajar kerajaan sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan.

“Umat Islam sedia turun ke jalan raya bagi mempertahankan kalimah suci ini.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/566300