KPDNHEP ingatkan NGO agar beli barang dari pemborong

KPDNHEP ingatkan NGO agar beli barang dari pemborong.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada formal atau baru ditubuhkan disaran mendapatkan bekalan makanan mahu disumbangkan daripada pemborong berbanding membelinya di kedai runcit.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, ia bagi mengelakkan berlaku situasi barangan keperluan habis di rak jualan sekaligus menimbulkan panik dalam kalangan pengguna.

Kenyataan itu memaklumkan, keadaan itu dikhuatiri boleh menimbulkan reaksi negatif serta pembelian panik dalam kalangan pengguna.

“KPDNHEP merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kewujudan badan-badan bantuan kemanusiaan dan NGO yang membantu golongan terkesan ketika pendemik Covid-19.

“Sumbangan ikhlas badan-badan kemanusiaan ini dalam menyantuni golongan tidak bernasib baik amat disanjung tinggi terutama dalam mencari golongan sasar, mengumpul dana, membeli barang keperluan serta mengagihkan bantuan kepada yang memerlukan.

“Bagaimanapun KPDNHEP berharap badan-badan bantuan kemanusiaan ini tidak membeli dan mendapatkan bekalan barang keperluan dari peruncit-peruncit, sebaliknya boleh memperolehinya daripada pemborong,” katanya semalam.

Kementerian itu mengulas dakwaan orang awam bahawa bekalan keperluan termasuk telur terjejas teruk di sebuah kedai di Shah Alam, selepas pengguna mendapati rak jualan kosong, baru-baru ini.

KPDNHEP berkata, pihaknya mendapat maklumat beberapa barang keperluan seperti beras, minyak masak, telur, tepung dan gula habis di sebuah peruncit di Seksyen 27, Shah Alam baru-baru ini akibat dibeli untuk tujuan bantuan kemanusiaan.

“Pembelian berlebihan itu menyebabkan pengguna di kawasan itu terputus bekalan dan terpaksa membeli dari peruncit yang berada jauh termasuk menunggu sehingga bekalan baharu sampai ke peruncit berkenaan.

“Kerjasama daripada NGO dan Badan Bantuan Kemanusiaan ini sangat diharapkan supaya tidak mewujudkan suasana tidak stabil akibat salah faham terhadap bekalan dan harga keperluan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/728126/nasihat-ngo-jangan-serbu-kedai-cari-pemborong

BACA JUGA : Terkini !!! PEJUANG kini sah sebagai parti berdaftar