Kos menunaikan haji dijangka meningkat – TH

Tabung Haji (TH) menjangkakan kos haji akan meningkat pada musim haji akan datang susulan perubahan prosedur operasi standard (SOP) ibadah itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan pandemik COVID-19.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, peningkatan kos itu sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP yang perlu dipatuhi seperti penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram yang turut dihadkan.

Katanya, ini berdasarkan kos berkaitan SOP norma baharu, kenaikan kos operasi dan kos lain di Malaysia serta Arab Saudi.

Kos menunaikan haji dijangka meningkat - TH

Kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat susulan perubahan SOP perlu dipatuhi di Malaysia dan Arab Saudi.

“Saya lihat ini (SOP) memberi impak kepada kos haji akan datang kerana baru-baru ini saja jemaah haji perlu membayar sekitar RM15,000 hingga RM20,000 untuk lima hingga tujuh hari, membabitkan tiga lokasi iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan Tawaf dan Saie saja.

“Kos itu tidak termasuk kos penginapan hotel di Makkah dan Madinah serta makan minum, juga penerbangan dari Malaysia dan Arab Saudi, maka bakal jemaah perlu bersedia dengan peningkatan kos ini.

“Sebagai perbandingan, bayaran haji pada tahun 2019 ialah RM9,980 seorang untuk tempoh 40-45 hari menerusi subsidi haji,” katanya.

Pada tahun 2019, kerajaan memutuskan bayaran menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama, kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920.

Kos menunaikan haji tahun itu adalah sebanyak RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim sebelumnya. Bagaimanapun, Malaysia tidak menghantar jemaah haji pada tahun 2020 dan tahun ini susulan pandemik COVID-19.

Syed Saleh berkata, walaupun ibadah haji ditangguhkan dua kali akibat wabak COVID-19 yang melanda dunia, TH tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi pandemik dan perkembangan semasa di Arab Saudi.

Katanya, perancangan dan persiapan itu dilaksanakan sejak musim haji 2020 sebagai usaha memastikan kelancaran urusan jemaah haji Malaysia ketika menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata, ia termasuk melaksanakan kursus haji kepada bakal jemaah secara dalam talian iaitu sebanyak 14 siri termasuk tambahan satu siri khusus menekankan SOP baharu di Arab Saudi serta hukum hakam ibadat haji dalam suasana semasa penularan wabak COVID-19.

“TH juga giat memastikan bakal jemaah mendapat vaksinasi masing-masing dan lengkap dos COVID-19 seperti dikehendaki Arab Saudi sebelum mereka dibenarkan memasuki Tanah Suci.

“TH juga melaksanakan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan pada tahun terdahulu yang menekankan istitha’ah atau kemampuan menunaikan haji dalam situasi wabak.

“Dalam muzakarah ini, penting untuk kita memperhalusi dan memberi ketetapan ibadah haji dalam norma baharu dengan melihat kepada kekangan pergerakan dan terhalang semasa melaksanakan ibadah sekiranya berlaku penularan wabak semasa melaksanakan haji,” katanya.

Syed Saleh berkata, TH juga melaksanakan perjumpaan dengan pengendali operasi di tanah air membabitkan stesen berlepas dan mengadakan bengkel bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapat panduan serta memastikan SOP petugas dan protokol kesihatan dijaga.

Beliau berkata, pasukan kesihatan KKM akan ditempatkan di lapan stesen berlepas di Malaysia bagi memantau kesihatan jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci, selain TH juga akan menambah jumlah petugas kesihatan awam untuk ditempatkan di tiga lokasi utama iaitu di Jeddah, Madinah dan Makkah.

“Kebiasaannya pada musim haji sebelum ini, kita mempunyai 260 petugas perubatan daripada pelbagai kategori termasuk doktor pakar, jururawat dan ahli farmasi, namun disebabkan COVID-19, kita perlu menambah sekurang-kurangnya 30 lagi petugas kesihatan untuk menguruskan keselamatan dan kesihatan jemaah haji,” katanya.

Tambah beliau, langkah itu turut mengambil kira kemudahan isolasi di hotel penginapan, penyediaan peralatan perubatan seperti ventilator dan pakaian perlindungan diri (PPE) serta ubat-ubatan.

Katanya, sebagai persediaan, TH menjalankan perancangan senario dengan memperincikan tindakan perlu diambil pada setiap peringkat aktiviti haji di tanah air dan Tanah Suci dengan pelbagai senario mungkin dihadapi sepanjang operasi haji.

Beliau berkata, petugas juga dibekalkan dengan latihan, ilmu dan persiapan mental secukupnya untuk menghadapi situasi norma baharu dalam menjaga nyawa jemaah haji, sekali gus bersedia menjadi petugas barisan hadapan apabila musim haji tiba.

“Sekiranya berlaku kes positif COVID-19 dalam kalangan jemaah haji Malaysia, pertamanya kita akan tertakluk kepada SOP daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan itu kita akan lihat apa SOP mereka berdasarkan perkembangan semasa COVID-19.

“Keduanya, kita perlu menilai jangkitan COVID-19 iaitu sekiranya pada tahap satu dan dua kita boleh kendalikan sendiri di hospital kita dahulu melainkan tahap empat dan lima yang memerlukan kemudahan di ICU, maka kita akan hantar ke hospital Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata, dari segi perkhidmatan, bagi memudahkan jemaah, TH juga akan melancarkan TH Hujjaj pada musim haji akan datang, iaitu aplikasi yang memuatkan pelbagai maklumat penting untuk jemaah haji membuat rujukan dan panduan mengenai ibadah haji, kesihatan dan waktu solat sekali gus melancarkan pengurusan jemaah.

Katanya, platform e-Taib (Talian Ibadah–Pusat Panggilan) akan diteruskan bagi membolehkan jemaah haji mendapatkan penjelasan dan bimbingan kepada persoalan ibadah haji dengan pantas dan berkesan melalui aplikasi WhatsApp.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/865170/th-jangka-kos-haji-meningkat

BACA JUGA : Semua Menteri dan Timbalan dapat khidmat ‘escort’ Polis?, Ini penjelasan Bukit Aman

COMMENTS

Wordpress (0)