Komplot gulingkan Najib, akhirnya Shafie Apdal bersuara

Komplot gulingkan Najib, akhirnya Shafie Apdal bersuara.Shafie Apdal nafi adanya plot rampasan terhadap Najib Razak ketika beliau menjadi perdana menteri, ekoran skandal 1MDB seperti didakwa bekas pembantunya.

Bekas menteri dalam pentadbiran Najib itu berkata, walaupun ketika itu dia kerap bersuara tentang skandal 1MDB, ia bukan bermakna dia bersama beberapa pihak lain mahu menggulingkan Najib.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai itu (1MDB) kerana masih dalam proses mahkamah, tetapi mana ada plot. Kami hanya bersuara.

“Macam mana boleh dikatakan mahu gulingkan kerajaan, dia Presiden (Umno) saya ketika itu, saya pula Naib Presiden dan Muhyiddin (Yassin) Timbalan Presiden. Tiada plot, ia hanya spekulasi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan Warisan.

Terdahulu, bekas wartawan dan penasihat komunikasi politik kepada Najib, Romen Bose mendakwa, bekas perdana menteri itu hampir menjadi mangsa rampasan kuasa oleh “tiga Tan Sri” yang bersekongkol dengan pemimpin lain untuk menahan beliau secara tidak sah sewaktu mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada 29 Jul 2015.

Bagaimanapun, sehari sebelum plot itu dilaksanakan, Najib mengambil beberapa tindakan yang menggagalkan rancangan tiga Tan Sri berkenaan iaitu, bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Zeti Akhtar Aziz, bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abu Kassim Mohamed.

Butiran komplot untuk mengguling Najib sebagai Perdana Menteri terkandung dalam buku tulisan Bose, yang bakal berada dalam pasaran.

Zeti dan Gani ialah anggota utama dalam Pasukan Petugas Khas 1MDB yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan dalam artikel Wall Street Journal serta Sarawak Report berhubung tuduhan penglibatan Najib dalam menyeleweng dana negara. Abu Kassim pula ialah penasihat pasukan petugas khas itu.

Individu lain yang didakwa terbabit dalam plot rampasan kuasa itu termasuk Muhyiddin Yassin, yang ketika itu timbalan Najib dan Shafie selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

BACA: Panas !!! Wujud pengintip dalam kalangan pekerja di rumah Najib, dakwa pembantu

CATEGORIES