Kompaun RM50K wujud kerana pelaksanaan darurat, bukan salah Polis

Kompaun RM50K wujud kerana pelaksanaan darurat, bukan salah Polis

Barangkali di ketika seluruh dunia dilanda wabak Covid19 sekarang ini, hanya Malaysia satu-satunya negara di mana kerajaan yang berkuasa sampai hati mendenda rakyatnya sendiri setinggi RM50 ribu hanya atas kesalahan melanggar SOP.

Lebih buruk lagi kerajaan yang berkuasa itu pula adalah kerajaan yang mendakwa diri mereka sebagai kerajaan Melayu/Islam di dalam sebuah negara yang majoritinya penduduknya adalah bangsa Melayu yang beragama Islam.

Yang dikenakan denda tinggi itu juga adalah peniaga kecil berbangsa Melayu dan beragama Islam yang mungkin pendapatan seharian mereka tidak sampai pun RM100.

Bagi peniaga kecil yang berpendapatan harian sekitar RM100 sambil dikelilingi lima atau enam anak mahu dibesarkan, jangankan RM50 ribu atau RM10 ribu, mendenda mereka RM1000 juga boleh dianggap kejam dan zalim.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, England, Perancis dan lain-lain misalnya, tidak pernah lagi terdengar mereka pernah mendenda rakyatnya atas kesalahan melanggar SOP pencegahan Covid19 sehingga mencecah RM50 ribu.

Maka, kerajaan PN dengan pengenalan kadar denda yang mungkin mencatat rekod tertinggi di dunia ini bukanlah kerajaan yang membela rakyat namanya, tetapi lebih layak dipanggil kerajaan yang menekan rakyat.

Mengapa begitu sampai hati dan seolah-olah tiada hati perut mengenakan denda sebegitu tinggi?

Di mana pertimgangan mereka dalam menjalankan tugas dan berurusan dengan rakyat yang diketahui hanya golongan biasa dan berpendapatan rendah?

Menambah sadis lagi berikutan denda RM50 ribu kepada peniaga kecil itu, ada pula laporan berita menyebut sebuah syarikat besar dan kaya iaitu Jakel hanya didenda RM10 ribu, juga atas kesalahan melanggar SOP.

Berbanding peniaga kecil menjua burger dan colek yang didenda RM50 ribu atas kesalahan menjalankan perniagaan melebihi had masa, itu pun hanya kira-kira sejam terlebihnya, tetapi Jakel didapati melakukan lima kesalahan melanggar SOP.

Kesalahan Jakel itu, seperti dilaporkan media ialah gagal memastikan bilangan pintu masuk dihadkan kepada satu pintu utama, tiada penjarakan satu meter, gagal memastikan pelanggan membuat saringan MySejahtera, gagal menghadkan bilangan pelanggan yang masuk ke dalam premis dan gagal memastikan nombor maklumat yang lengkap ditulis dalam buku daftar yang disediakan.

Di mana keadilannya kerana syarikat besar yang melakukan lima kesalahan didenda RM10 ribu, tetapi peniaga kecil yang melakukan satu kesalahan didenda RM50 ribu?

Dalam hal ini, bukan saja perlaksanaan keadilan telah dibutakan, bahkan ternampak jelas dan sengaja bahawa kerajaan mahu nenekan golongan yang lemah dan tak berupaya.

Kenapa semua ini berlaku?

Tanpa keraguan, ini adalah salah kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin yang menguatkuasakan darurat dan kemudian, dalam tempoh darurat itu dan berikutan Parlimen digantung, telah bertindak meminda Ordinan Darurat secara bebas dengan menaikkan kadar denda terhadap pelanggaran SOP kepada kadar yang tidak munasabah, menyusahkan dan tidak masuk akal.

Jika darurat tidak dilaksanakan dan Parlimen tidak digantung, pasti pindaan undang-undang untuk menaikkan kadar denda ke tahap tidak munasabah itu akan dibantah oleh Ahli-Ahli Parlimen, bukan saja daripada pembangkang, tidak mustahil sebahagian wakil kerajaan juga tidak setuju dengannya.

Dengan demikian, apabila Parlimen dibenarkan bersidang seperti biasa, pindaan undang-undang itu mustahil diluluskan dan nasib rakyat akan jadi lebih terbela dengan sendirinya.

Tetapi, itulah perangai penakut Mahiaddin, sudahlah tiada majoriti dan ketika keabsahananya diragui, beliau telah mencadangkan perlaksanaan darurat yang disekalikan dengan menggantung Parlimen bagi melindungi kedudukannya daripada dijatuhkan.

Akhirnya, dengan darurat dilaksanakan dan Parlimen digantung, undang-undang menekan dan menyusahkan rakyat pula telah dipinda dengan sewenang-wenangnya.

Jadi, kesalahan mendenda peniaga kecil setinggi RM50 ribu itu bukan salah penguatkuasa atau pegawai kerajaan yang menjalankan tugas, tetapi merupakan kesalahan mutlak kerajaan PN pimpinan Mahiaddin yang mengutkuasakan darurat, menggantung Parlimen dan meminda undang-undang dalam tempoh darurat tanpa memerlukan ia dibawa dan dibahas di Dewan Rakyat.

Seluruh rakyat wajib mengutuk kerajaan PN dan Mahiaddin yang ternampak tidak mampu bercakap walau sepatah kata memberi respon dalam isu menekan rakyat ini.

Jika pemimpin lain diberi ruang membuktikan sokongan dan dilantik menjadi Perdana Menteri, nasib rakyat bawahan dan marhaen – percayalah – tidak seburuk ini nasib mereka didenda oleh sebuah kerajaan tanpa langsung ada perikemanusiaan.

Berita penuh : https://shahbudindotcom.net/2021/04/28/denda-rm50-ribu-selain-menekan-rakyat-dan-tertinggi-di-dunia-semua-ini-salah-mahiaddin.html

COMMENTS