Kompaun RM 10,000 : Sebab tu penting bincang dalam parlimen, kata Najib

Kompaun RM 10,000 : Sebab tu penting bincang dalam parlimen, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak berpendapat isu kompaun RM10,000 bagi mereka yang melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP) merupakan satu lagi contoh langkah kerajaan perlu dibincang dan diluluskan di Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

Dalam perkongsian di Facebook, Najib memuat naik gambar notis denda RM10,000 seorang individu yang gagal mengimbas kod MySejahtera yang berlaku di sebuah kedai makan di Bukit Jalil.

Najib berkata denda berkenaan perlu diteliti supaya dapat membezakan kesalahan yang serius ataupun tidak.

“Cara Ordinan tersebut digariskan kerajaan tidak membezakan kesalahan yang tidak sengaja dan tidak serius seperti lupa/gagal scan (imbas) MySejahtera atau gagal pakai face mask dengan kesalahan yang amat serius seperti langgar kuarantin wajib atau rentas negeri tanpa kebenaran.

“Ini satu lagi contoh kenapa langkah kerajaan wajar dibincang dan diluluskan dalam Dewan Rakyat terlebih dahulu supaya ianya lebih adil pada rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Di bawah Ordinan Darurat, denda RM1,000 sebelum ini dinaikkan kepada RM10,000 berkuatkuasa 11 Mac.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memberitahu bahawa kompaun maksimum RM10,000 tersebut bukanlah bertujuan untuk menganiaya rakyat.

Dia turut memberi jaminan bahawa ia lebih merujuk kepada mereka yang melakukan kesalahan berulang kali dan dari kategori kesalahan ingkar yang berat.

Dalam satu sidang media semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memaklumkan bahawa jumlah denda RM10,000 itu boleh dikurangkan melalui permohonan di pejabat kesihatan daerah.

Dia menjelaskan pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah denda itu kerana mereka hanya diberikan tugas untuk menawarkan kompaun kepada pesalah.

Tambahnya, kesalahan ringan seperti tidak memakai pelitup muka akan diberi pertimbangan untuk dikurangkan denda mereka berdasarkan beberapa faktor tertentu.
Berita Penuh:https://www.malaysiakini.com/news/566282