Kompaun RM 1 juta jika langgar SOP berulang kali – Khairy

Hanya

Kompaun RM 1 juta jika langgar SOP berulang kali . Syarikat atau agensi kerajaan boleh dikompaun sehingga RM1 juta pada masa akan datang sekiranya melanggar SOP Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk menaikkan kompaun itu bagi memberi pengajaran terutama kepada syarikat besar yang sering melanggar SOP berulang kali.

Katanya, pemansuhan Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Dis lalu, menyebabkan kadar kompaun maksimum yang boleh dikenakan ketika ini adalah sebanyak RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada individu dan organisasi yang melanggar SOP Covid-19.

Memetik laporan FMT beliau berkata “Sekiranya saya sudah pinda akta dan diwartakan, maksimum kompaun yang boleh dikenakan di bawah akta yang akan dipinda untuk pertubuhan, syarikat, agensi kerajaan dan lain2, adalah RM1 juta.

“Tetapi ada garis panduannya. Tidaklah kita akan jadi gila kuasa, semua kita bagi RM1 juta. Kita tengok kepada kes-kes tertentu,” katanya dalam program Bicara Naratif Khas, “Menilai Ketegasan KKM” di TV1.

Dalam pada itu, Khairy berkata pindaan Akta 342 untuk menaikkan kompaun itu akan dibawa pada Khamis ini di Dewan Rakyat.

Katanya, sekiranya tidak menaikkan kompaun itu, syarikat perkilangan yang mendapat keuntungan berbilion-bilion akan terus melanggar SOP dan menjadi kluster Covid-19.

“RM1 juta ini untuk kalangan syarikat besar, sebagai contoh syarikat perkilangan yang sentiasa menjadi kluster yang mana mengaut untung berbilion-bilion.

“Kalau nak bagi kompaun RM50 takkan mencegah dan mengubah tingkah laku mereka. Jadi kompaun RM1 juta buat mereka fikir dua atau tiga kali sebelum langgar SOP,” katanya.

Khairy berkata bagaimanapun dalam pindaan Akta 342 itu akan ada garis panduan yang lebih ketat.

“Kita tak mahu peniaga kecil, penjual burger dikenakan kompaun RM10,000 lagi. Kita akan lihat seperti kesalahan berulang akan dinaikkan kompaun,” katanya.

BACA: Dikurung dalam bilik, empat pelajar jadi ‘karung tinju’ senior

Artikel ini disiarkan pada 13/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)