Kluster tempat kerja saban hari mendominasi kes baharu

Jumlah vaksinasi harian di negara ini melepasi sasarannya, iaitu 200,000 dos, minggu ini, walaupun bilangan kluster tempat kerja dicatatkan tinggi saban hari.

Walaupun jumlah kes harian baharu mulai mendatar sekitar paras 5,000, Kementerian Kesihatan (KKM) masih melaporkan setinggi 6,440 kes pada 18 Jun. Bilangan kes harian terendah dicatatkan pada 14 Jun, iaitu sebanyak 4,949 kes.

Sebanyak 38,911 jangkitan dicatatkan antara 13 Jun dan 19 Jun – penurunan daripada 41,630 kes yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi, dan Negeri Sembilan menyaksikan lonjakan yang mengejutkan dengan 1,086 jangkitan pada 17 Jun.

Sebanyak 924 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) pada 16 Jun. Setakat semalam, jumlah itu menurun sedikit kepada 886 orang, dengan 441 memerlukan bantuan pernafasan.

Angka kematian kini pada 4,348, dengan purata 72 kematian dicatatkan setiap hari. Pada minggu lalu sahaja, terdapat 504 kematian, penurunan daripada 553 pada minggu sebelumnya.

Bilangan kes sembuh sejak seminggu lalu tidak banyak berubah, dengan 50,131 pesakit keluar dari hospital, berbanding 50,437 pesakit minggu lalu.

Bilangan kluster berkurangan kepada 142 daripada 154 yang direkodkan minggu lalu. Sejumlah 96 daripadanya berkait tempat kerja.

Setakat semalam, sejumlah 5.51 juta individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Berikut adalah beberapa tajuk utama dalam berita berhubung Covid-19 sejak seminggu yang lalu.

Kerajaan mengumumkan Pelan Pemulihan Negara

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa strategi keluar daripada Covid-19 yang dirangka kerajaan melibatkan empat fasa, berdasarkan tiga petunjuk – kes harian baharu, kapasiti sistem kesihatan awam dan bilangan individu yang telah menerima vaksin.

Menurut perancangan kerajaan, Parlimen akan bersidang semula pada fasa ketiga, sama ada pada September atau Oktober. Semua sektor ekonomi, aktiviti sosial, perjalanan merentas sempadan dan pelancongan domestik akan dibenarkan selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.

Yang di-Pertuan Agong mahu Parlimen bersidang secepat mungkin

Susulan perbincangan dengan 18 pemimpin parti politik dan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja, Istana mengumumkan bahawa Agong berharap Parlimen akan bersidang secepat mungkin kerana penting bagi Ahli Parlimen untuk membincangkan hal-hal berkait Covid-19.

Dalam kenyataan, Majlis Raja-Raja berkata, tiada keperluan bagi negara berada dalam keadaan darurat selepas 1 Ogos, dan Dewan Undangan Negeri juga perlu dibuka semula segera.

Pelajar SPM diutamakan untuk vaksinasi Covid-19

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersetuju mengutamakan pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan utama untuk menerima vaksin. Ini susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer untuk individu berusia 12 tahun ke atas.

Pesakit di ICU masih tidak berkurangan ketika ‘lockdown’

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, tidak ada penurunan signifikan dalam jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) walaupun kes baharu setiap hari menurun sejak dua minggu lalu.

Katanya, kadar katil ICU yang penuh kekal melebihi 100%, sebahagian besarnya disebabkan oleh varian baharu yang menyebabkan pesakit cepat menjadi parah dan pulih lebih perlahan.

Keadaan semakin buruk di Labuan, mendesak lebih ramai mendaftar untuk vaksinasi

Bilangan individu di Labuan yang mendaftar untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera meningkat daripada 66.11% menjadi 73% daripada populasi dalam tempoh sehari.

Kerajaan berkata, ia akan menghantar 30,000 dos vaksin ke wilayah persekutuan tersebut memandangkan krisis kesihatan yang semakin memburuk di sana, melaporkan 6,828 kes setakat ini.

Vaksinasi “walk-in” juga telah dimulakan, seiring dengan pembukaan lima lagi pusat pemberian vaksin (PPV) di sana.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/20/kluster-tempat-kerja-dicatatkan-tinggi-saban-hari/

CATEGORIES