Kluster ‘durian’ dicetus oleh peniaga yang rentas negeri

durian

Kluster ‘durian’ dicetus oleh peniaga yang rentas negeri. Sekumpulan peniaga durian yang merentas negeri dari Kelantan ke Selangor dan Johor untuk mendapatkan dan menghantar bekalan ‘raja buah’ itu mencetuskan kluster baharu di negeri ini.

Kluster yang dikenali sebagai Kluster Kampung Baru Bukit Kecil Labok, Machang itu membabitkan daerah Machang dan Kota Bharu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, setakat semalam, kluster berkenaan mencatatkan 12 kes positif hasil daripada 38 individu yang disaring.

Katanya, kes indeks kluster itu membabitkan remaja berusia 15 tahun yang dilaporkan positif pada 18 Julai lalu dan mula bergejala pada 15 Julai.

“Remaja itu mempunyai sejarah merentas negeri dari Kelantan ke Selangor dan Johor pada 10 hingga 15 Julai.

durian

“Remaja berkenaan bersama sekumpulan peniaga durian ke Selangor dan Johor untuk mengambil dan menghantar bekalan durian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu lagi kluster rentas negeri yang tercetus adalah Kluster Kerilla yang membabitkan daerah Tanah Merah dan Klang, Selangor.

Katanya, kluster itu tercetus daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang dilaporkan positif pada 22 Julai hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi.

“Kes indeks mempunyai sejarah merentas negeri dari Selangor ke Kelantan pada 11 Julai untuk menghadiri majlis pengebumian adiknya sebelum pulang ke Selangor pada 15 Julai.

“Sehingga kini, hasil ujian saringan 23 individu mendapati sembilan daripadanya positif dan ujian saringan akan diteruskan terhadap kontak rapat,” katanya.

Dr Zaini menasihatkan masyarakat supaya terus patuh prosedur operasi standard (SOP) memandangkan kes masih lagi tinggi dan meningkat di Kelantan serta virus berada dalam komuniti.

“Majoriti kes tiada simptom dan anggaplah semua orang di sekeliling kita berkemampuan menularkan Covid-19,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan semalam merekodkan enam kluster komuniti dan 372 kes baharu.

COMMENTS

Wordpress (0)