KKM pertimbang guna Ivermectin rawat Covid-19

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit COVID-19 jika terdapat bukti kukuh menjelaskan keberkesanan dan kesan sampingannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM ketika ini hanya membenarkan penggunaan Ivermectin secara ‘off label’ (ubat di luar indikasi tertera dalam label dan belum atau di luar persetujuan badan atau lembaga bertanggungjawab) sehingga kajian menyeluruh dijalankan.

“Sekarang ini kita boleh gunakan Ivermectin dalam negara dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah meluluskan penggunaan ‘off label’ seperti digunakan dulu untuk ubat anti malaria dan HIV.

kkm

“Penggunaannya tidak didaftarkan, tetapi dibenarkan sehingga kita ada bukti kukuh,” katanya ketika diundang sebagai panel program The Nation, bertajuk ‘COVID-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita’ yang disiarkan secara langsung menerusi BERNAMA TV malam tadi.

Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) yang digunakan secara meluas bagi rawatan beberapa penyakit tropika terabai, termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, KKM juga giat menjalankan kajian untuk mengenal pasti keberkesanan dan kesan sampingannya bagi pesakit COVID-19 kategori tiga, empat dan lima.

“Ivermectin adalah ubat antiparasit yang dikenal pasti dari tahun 70-an dan ia ada kesan antiviral. Saya sendiri sekitar empat tahun lalu mengesyorkan penggunaannya untuk (merawat) denggi.

“Saya kemukakan cadangan ini kerana Ivermectin ada kesan antiviral. Kita sudah menjalankan kajian di Thailand dan kajian permulaan menunjukkan untuk mendapatkan kesan antiviral ini, dosnya amat tinggi,” katanya.

Beliau menjelaskan, terdapat kesan sampingan Ivermectin yang tidak dimaklumkan, antaranya Ataxia atau masalah keseimbangan, sawan dan seumpamanya.

Mengulas kemungkinan ubat itu akan dipertimbangkan untuk merawat pesakit COVID-19, Dr Noor Hisham berkata, perkara berkenaan masih dalam penelitian.

“Insya-Allah, ada yang kita sudah benarkan penggunaan secara off label, tetapi dengan pemantauan rapi petugas hospital,” katanya.

Pada awal bulan lalu, KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Dr Noor Hisham sebelum ini menjelaskan, setakat ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membenarkan Ivermectin sebagai rawatan COVID-19 dalam kajian atau percubaan klinikal saja.

Bagaimanapun, keengganan KKM menggunakan Ivermectin mengundang ketidakpuasan hati ramai, termasuk doktor pakar dan persatuan pengguna.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/837975/covid-19-kkm-mungkin-pertimbang-guna-ivermectin

BACA JUGA : Panas !!! Zafrul bakal calon PN di Lembah Pantai?