KKM nasihat kerajaan isu Covid-19, bukan untuk parlimen bersidang atau tidak

KKM nasihat kerajaan isu Covid-19, bukan untuk parlimen bersidang atau tidak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya menasihati kerajaan mengenai situasi wabak Covid-19 di Malaysia, kata Ketua Pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah.

Kata Noor Hisham, perkara-perkara lain berada di luar bidang kuasa kementerian itu.

Noor Hisham berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan tentang sama ada KKM memberi nasihat untuk parlimen bersidang atau tidak.

“Berkenaan dengan parlimen, kami memberi nasihat kepada kerajaan berdasarkan fakta dan data berhubung Covid-19. Contohnya, sama ada (bilangan kes) meningkat atau menurun.

“Jadi kami memberi nasihat mengenai penularan jangkitan Covid-19. (Perkara) selain itu, saya rasa di luar bidang kementerian,” katanya pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan pada 25 April berkata keputusan untuk parlimen bersidang sehari itu telah mengambil kita keadaan semasa, terutamanya tentang usaha membendung pandemik Covid-19.

Susulan itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri DAP Lim Kit Siang meminta KKM menjelaskan sama ada kenyataan Takiyuddin berdasarkan nasihat KKM atau tidak.

Pemimpin pembangkang sebelum ini mengkritik sidang parlimen satu hari itu, dengan alasan ia akan menjadikan peranan parlimen untuk semak dan imbang tidak berkesan.

Sementara itu, ditanya mengenai langkah-langkah yang akan diambil oleh KKM untuk menyaring anggota parlimen sebelum memasuki Dewan Rakyat pada 18 Mei ini, Noor Hisham berkata akan ada alat pengimbas haba yang ditempatkan di premis tersebut untuk memeriksa suhu badan.

“Ya, tentu saja di parlimen kita akan memeriksa. Ia juga sama seperti institusi lain, di mana misalnya ketika anda datang ke KKM, kami memastikan akan ada pemeriksaan imbasan termal. Semua itu akan dilaksanakan.

“Itu adalah bagian dari norma baru sekarang. Sama ada anda pergi ke parlimen, atau restoran, institusi mana pun, akan ada penyaringan suhu dan juga penjarakan sosial, serta mengamalkan penjagaan diri yang baik.

“Itulah yang kami galakkan dan jelas tidak ada lagi jabat tangan misalnya. Jadi itu adalah norma baru yang harus kita praktikkan bukan hanya untuk sesi parlimen tetapi untuk semua orang di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, Noor Hisham tidak menyebut sama ada semua ahli parlimen akan menjalani ujian Covid-19 sebelum persidangan Dewan Rakyat.

Awal hari ini, seorang ahli parlimen Pakatan Harapan memberitahu Malaysiakini bahawa semua anggota parlimen mungkin akan menjalani ujian Covid-19 dua hari sebelum Dewan Rakyat bersidang.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/522828