KKM nafi Doktor meninggal kerana kepenatan rawat pesakit Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan bahawa Dr Ali Noor Hassan meninggal dunia akibat terlampau penat dengan beban tugas.

Sebaliknya kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Sinar Harian, doktor itu mempunyai penyakit lain.

“Beliau telah dikesan mempunyai penyakit lain dan tak ada kaitan dengan kelesuan bekerja,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp pada Rabu.

Terdahulu Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) di laman Facebook lewat malam Selasa melaporkan Dr Ali jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih, selain kekurangan masa untuk beristirehat setelah bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19.

Dalam perkongsian itu, SPJM turut memuat naik sekeping gambar terakhir Dr Ali yang tertidur semasa bertugas dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE). –SH