Kita sedang menuju ke arah pemberian subsidi haji secara bersasar – Idris

Kita sedang menuju ke arah pemberian subsidi haji secara bersasar – Idris. Kerajaan ada perancangan untuk melaksanakan pemberian subsidi haji secara bersasar, berbanding memberikannya kepada semua jemaah seperti yang dilaksanakan ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata pemberian subsidi haji itu akan memberi tumpuan kepada golongan yang memerlukan, khususnya B40.

“Kita sedang menuju ke arah pemberian subsidi haji secara bersasar, terutama kepada golongan B40. Kerajaan hari ini sedang menuju ke arah sudut itu,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Inklusif yang disiarkan secara langsung di Facebook Berita RTM, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pengacara, Wan Syahrina Wan Ab Rahman, sama ada kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi haji atau memiliki perancangan untuk melaksanakannya secara bersasar.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa pihak mencadangkan supaya Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar, dengan keutamaan kepada golongan B40.

Cadangan itu berdasarkan peningkatan kos seorang jemaah muassasah yang dijangka meningkat sehingga RM25,000 dan bayaran oleh jemaah hanya RM9,980, sekali gus TH perlu menanggung subsidi yang amat besar.

Jika bayaran untuk melaksanakan ibadah haji dikekalkan RM9,980 seorang, subsidi yang diberikan akan mencecah RM15,020 untuk setiap seorang.

Pada 8 April lalu, Idris dilaporkan berkata, kerajaan memberi jaminan pemberian subsidi kepada jemaah akan diteruskan biarpun kos menunaikan haji tahun ini dijangka meningkat lebih RM25,000, dan bayaran daripada jemaah akan ditentukan selepas mendapat kuota haji daripada Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Idris menjelaskan pemberian subsidi haji kepada jemaah tidak menggunakan peruntukan daripada kerajaan, sebaliknya adalah hasil keuntungan daripada wang pendeposit TH.

Kita sedang menuju ke arah pemberian subsidi haji secara bersasar - Idris

“Setakat 31 Mac 2021, seramai 7.1 juta pendeposit menyimpan wang di bawah RM10,000 dalam TH, manakala 4,761 pendeposit menyimpan lebih RM1 juta dan 604,542 pendeposit mengekalkan simpanan dalam TH walaupun sudah menunaikan haji.

“Keuntungan daripada simpanan ini yang dijadikan bantuan (subsidi) haji kepada jemaah. Sekitar RM300 hingga RM400 juta setahun atau 56 peratus adalah datang dari sumber ini untuk dijadikan bantuan haji,” katanya.

Ditanya mengapa kos menunaikan haji bagi jemaah Malaysia lebih tinggi berbanding jemaah negara lain, Idris memaklumkan, ia berikutan peningkatan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan TH kepada jemaah haji negara.

“Sekitar 2000, jemaah yang pergi menunaikan haji secara pakej seperti saya, dapat satu bilik enam orang. Jemaah muassasah pula tilam berlaga tilam, amat sempit.

“Hari ini, ketika saya pergi meninjau logistik baru-baru ini, bilik macam hotel dengan kapasiti tiga hingga enam orang satu bilik dan bilik air sendiri, makan dua kali sehari serta jarak (dengan Masjidilharam) tidak jauh, tidak lebih satu kilometer.

“Kos perubatan juga ditanggung TH, selain jemaah diberi kursus dan TH sediakan perkhidmatan pengambilan wang tunai kepada jemaah muassasah,” katanya.

Pada masa sama, Idris mengingatkan orang ramai bahawa Allah meletakkan kewajipan untuk menunaikan haji hanya kepada mereka yang berkemampuan.

“Jangan pergi ke Makkah dan balik bergelar haji, tapi rumah tergadai, anak jadi peminta sedekah, isteri terpaksa berhutang dengan jiran. Ini tidak betul.

“Kita pergi berdasarkan kemampuan yang ada pada kita. Jika tidak mampu, tidak berdosa,” katanya.

TONTON:

BACA:

Pencetus sebenar “burung puyuh Burung Ketut” yang ramai tidak tahu

Lelaki masukkan mercun dalam dubur kucing dan bakar, ini yang jadi..

Selepas kerajaan ‘sound’ harga tiket kapalterbang melambung, harga tiba-tiba..

CATEGORIES