Kit Siang, Hadi dan syurga

Hari ini ramai dikalangan penyokong dan pendukung Pakatan Harapan menyerang dan mengingatkan semula tentang Rang Undang-undang(RUU) 355 yang suatu ketika dulu menjadi asbab kepada perpecahan Pakatan Rakyat.

Cuma kali ini RUU ini dibangkitkan semula oleh kerana jawapan yang diberikan Timbalan Menteri menerusi soalan bertulis Dewan Rakyat yang dalam erti kata mudahnya tidak mudah dan sewenang-wenangnya RUU tersebut dibentang dan diangkat.

Sebagai contoh RUU ini sebenarnya telah dibaca di Dewan Rakyat oleh Yang Berhormat Marang pada tahun 2016 walau usul tersebut telah dimasukkan pada sidang 2015 namun gagal dibacakan.

Namun setelah dibaca apabila dibenarkan, YB Marang yang juga Presiden PAS sendiri memohon agar ia ditangguhkan. Tindakan itu sangat ironi dengan semarak laungan agar RUU 355 itu diangkat.

Ianya tidak terhenti disitu malah berlarutan sehingga sidang parlimen 2017. Kelihatan usaha pada ketika itu lebih serius ketika dibahaskan oleh Menteri yang menjaga Undang-undang kini selama hampir 20 minit.

Hasilnya kekal sama. Malah Speaker Dewan Rakyat pada ketika itu memberi sedikit panduan bahawa tanpa kuasa segalanya hanya tinggal omongan.

Tapi kini mereka adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan. PAS secara dasarnya tidak punya alasan untuk membina alasan untuk RUU 355 dijadikan dasar yang diperjuangkan dan harus dijayakan.

Dulu hujahnya tiada kuasa. Tapi hari ini bila kuasa dihujung pena dan lidah, mereka hadir dengan realiti sebenar. Hingga terpancul bahawa untuk membawa usul ini perlulah melihat kepada beberapa aspek.

Izinkan saya berbeda pandangan dengan teman-teman didalam Pakatan Harapan. Kita sangka penyokong dan pendukung PAS akan berubah tanggapan apabila mereka melihat apa yang berlaku hari ini.

Kini kita pula menari atas lenggok lagu mereka. Sedang mereka terus mencari dalil menghalalkan tindakan pemimpin mereka. Arak pun araklah asalkan cium tangan Presiden PAS lalu sucilah mereka bak bayi yang baru lahir.

Dulu mereka panggil sebahagian kita pembelot. Tapi hari ini mereka berkawan dengan pembelot. Malah lebih hina mereka mempermainkan mandat rakyat.

Mereka mungkin lupa, Raja Mendeliar dan Si Kitul yang mereka angkat itulah nanti akan memakan mereka semula. Melaka jatuh ke tangan Portugis bukan karena senjata yang tidak cukup bilang dan tidak canggih, tapi kerana fitnah dan khianat.

PAS? Kalau Haji Hadi memeluk Lim Kit Siang semula, “syurgalah buatnya”.

Muhammad Syafiq Azmi

Sumber :