Setiap tahun, semakin ramai penjawat awam terjerat dalam hutang sehingga menyebabkan mereka diisytihar muflis.
Dalam satu laporan oleh Bernama, Jabatan Insolvensi menyatakan bahawa kira-kira 10 hingga 13 peratus
Daripada kes kebankrapan baharu yang didaftarkan dalam tempoh empat tahun lalu melibatkan golongan tersebut.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk M. Bakri Abd Majid, sesetengah penjawat awam telah memohon untuk diisytihar muflis bagi mengurangkan tekanan hutang yang ditanggung selama ini.
Hasil kajian pakar mendapati bahawa penjawat awam jatuh muflis berpunca daripada keinginan untuk mengikuti trend semasa dan bergaya.
Namun, mereka menghadapi kekangan gaji yang seterusnya mendorong mereka untuk berhutang.
Memetik laporan itu, data daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan bahawa penggunaan kad kredit adalah antara penyumbang utama kepada kebanyakan kes muflis.
Sementara itu, pakar kewangan Islam dan kewangan korporat, Norasikin Salikin, menyatakan bahawa orang muda yang baru memasuki alam pekerjaan adalah antara yang mudah terjebak dalam masalah ini.
Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, pula menyatakan bahawa pekerja muda ini sering diuar-uar tentang kepentingan kemudahan kewangan tersebut oleh institusi kewangan.
“Mereka yang baru mengenal atau baru memiliki kad kredit biasanya sukar untuk mengawal perbelanjaan, dan akhirnya penggunaan kad kredit itu akan mencapai had maksimum,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Lebih memburukkan keadaan, apabila mereka gagal membayar kad kredit, mereka cenderung untuk membuat pinjaman peribadi bagi menyelesaikannya.
Dalam pada itu, terdapat juga penjawat awam yang melakukan pembiayaan bertindih (overlap) untuk menyelesaikan pinjaman peribadi yang terdahulu.
Akibatnya, mereka berdepan dengan masalah kebankrapan apabila tidak mampu membayar semua pinjaman yang diambil.
BACA: IJN seru kerajaan naikkan bayaran pesakit 40%, ini jawapan Timbalan Menteri Kesihatan