Ketua MIC Bahagian Paya Besar G. Ramesh ditemui maut di tepi jalan berhampiran Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di sini semalam, dipercayai akibat kejadian langgar lari.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata Ramesh, 50, dipercayai menjadi mangsa kemalangan langgar lari sekitar pukul 10.55 malam semalam, semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di sini dari Kemaman, Terengganu.
“Laporan forensik mengesahkan kematian disebabkan ada keretakan di kepala dan kita tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berlaku di luar kenderaan, berdasarkan tiada kesan perlanggaran ditemui pada kenderaan itu.
“Siasatan polis setakat ini juga tidak menemui sebarang unsur jenayah di kawasan mayat ditemui,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.
Mohamad Noor berkata mayat itu ditemui oleh orang awam kira-kira 20 meter dari kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux miliknya.
“Lokasi tempat kejadian sangat gelap kerana tiada lampu jalan dan kejadian berlaku semasa hujan lebat,” katanya.
Mohamad Noor berkata setakat ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana diklasifikasikan sebagai kemalangan maut, dan beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu polis mencari kenderaan yang terlibat.
Sementara itu, Pengerusi MIC Pahang V.Arumugam semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini menyifatkan pemergian Ramesh sebagai kehilangan besar kepada parti kerana mendiang seorang yang amat berdedikasi.
“Mendiang telah bersama-sama MIC sejak 20 tahun lalu dan sering memberi bantuan apabila diminta. Mendiang amat jarang menghampakan rakan-rakan sama ada dari parti atau tidak yang meminta tolong,” katanya.
Ramesh pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda MIC Pahang selama 15 tahun sebelum menjawat jawatan Ketua MIC Bahagian Paya Besar tahun lepas.
BERNAMA