Ketika Menteri ucap selamat Hari Kebebasan Media, warganet ungkit kes ‘otak di lutut’

Ketika Menteri ucap selamat Hari Kebebasan Media, warganet ungkit kes ‘otak di lutut’

Ucapan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah sempena Hari Kebebasan Media Sedunia dilihat hanya disambut dengan kecaman orang ramai.

Suami kepada Datin Norlin Shamsul Bahri yang membuat kenyataan kontroversi sebelum ini nampaknya menjadi sasaran warganet yang mengungkit kembali insiden ‘otak di lutut’ seperti diucap pembaca berita Astro Awani.

“Selamat menyambut Hari Kebebasan Media Sedunia kepada para wartawan dan pengamal media di seluruh Malaysia,” kata Saifuddin berserta poster.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang tersebut pada masa ini sedang dirawat di Hospital SungaI Buloh bersama isterinya selepas disahkan positif Covid-19.

Susulan hantaran Saifuddin di Facebook itu, ruang komentar bagi ucapan tersebut dibanjiri dengan cercaan orang ramai.

“Pemberita TV cakap kepala lutut pun tak boleh. Bebas apanya,” sinis Hafiz Hamdan.

Hal sama disuarakan Fendi Malik yang menulis, “Baru pembaca berita Awani hentak sikit, polis dah panggil siasat. Kebebasan apanya,” kata beliau.

Baru-baru ini, tular sedutan berita di Astro Awani apabila penyampainya, Luqman Hariz menyebut “seolah otak di lutut” berhubung isu kompaun RM50,000 terhadap penjual burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir di Kota Bharu.

Ekoran itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada 30 Mac lalu, dilaporkan berkata, PDRM membuka kertas siasatan terhadap pembaca berita terbabit yang dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/menteri-ucap-hari-kebebasan-media-netizen-kecam-ungkit-otak-di-lutut/

COMMENTS