Ketika Kita Bergelut Dengan Covid-19, Ada Pihak Ghairah Kukuhkan Kedudukan Politik


Semalam (19 Mac 2020), saya telah mengeluarkan Kenyataan Media sebagai Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), menyeru semua ahli ahli AMANAH dan penyokong Pakatan Harapan, agar menumpukan sepenuhnya usaha untuk menghadapi serangan COVID 19 yang melanda rakyat Malaysia dan dunia. 

Oleh itu kita mesti bekerjasama sepenuhnya dengan semua pihak terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia, pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain lain agensi keselamatan dan penguatkuasaan dalam usaha membendung wabak COVID 19 ini.

Sepatutnya semua pihak khususnya parti parti politik bersikap sedemikian kerana COVID 19 ini adalah satu ujian besar yang menimpa seluruh rakyat Malaysia dan dunia tanpa mengira bangsa dan agama yang memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak untuk membendungnya. 

Gencatan Politik hendaklah segera dilaksanakan. Setelah negara berjaya meredakan wabak COVID 19 ini dan kehidupan rakyat kembali selamat, barulah kita memulakan kembali aktiviti aktiviti politik.

Namun agak malang apabila pihak di sebelah sana terus menerus berpolitik dalam suasana negara yang getir ini. Pada hari ini kita mendapat berita Setiausaha Agung Parti Pribumu Bersatu Malaysia (BERSATU) Dato Wira Marzuki Yahya telahpun dipecat oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin. 

Begitu juga kita dikejutkan dengan pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa Ahli Parlimen lagi yang mendedahkan bahawa peruntukan Parlimen beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang telah disekat. 

Ini adalah rentetan beberapa tindakan politik tidak sihat setelah beberapa hari lalu mereka gagal menjemput 5 Ketua Menteri atau Menteri Besar negeri negeri Pakatan Harapan dan Warisan ke mesyuarat khas Ketua Ketua Menteri dan Menteri Besar berkait COVID 19 di Putrajaya.

Kesemua ini bererti mereka lebih mementingkan usaha menguatkan kedudukan kerajaan pintu belakang dan bukannya meletakkan kepentingan rakyat yang lebih utama dalam menghadapi kemelut Covid 19 ini. 

Oleh itu saya merasa amat kesal dengan tindakan tindakan pihak kerajaan pintu belakang ini yang cuba menghangatkan perbezaan politik dalam suasana sebegini. 

Sepatutnya kita menggalakkan Gencatan Politik dan hanya berpolitik selepas wabak COVID 19 ini reda. 

Di pihak Pakatan Harapan, usaha dan gerak kerja kuat akan dilaksanakan hanya selepas negara keluar daripada wabak COVID 19 ini bagi mengembalikan mandat rakyat dan menjatuhkan kerajaan pintu belakang ini melalui proses demokrasi dan berpelembagaan. 

Buat masa ini, kita hendaklah terus bersabar dan memberikan kerjasama untuk menangani wabak ini.

Mohamad Sabu
Presiden
Parti Amanah Negara

COMMENTS

Wordpress (0)